Isnin, 11 Februari 2019 | 1:44pm

'Tak kena Mourinho, Guardiola satu pasukan'

KUALA LUMPUR: "Mengapa kita perlu dua jurulatih asing bertaraf dunia, ini seperti kita mempunyai Pep Guardiola dan Jose Mourinho dalam satu pasukan yang sama."

Demikian tegas Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Radhakrishnan Nair apabila diminta memberi reaksi berhubung masa depan Pengarah Teknikal dari Australia, Terry Walsh.

Ini selepas timbul khabar angin bahawa khidmatnya mungkin tidak diteruskan selepas kontraknya yang ditanggung sepenuhnya oleh MHC berakhir awal bulan depan.

Malah, spekulasi itu diperkuatkan lagi dengan peranannya yang semakin mengecil daripada bertindak sebagai perunding pasukan lelaki dan wanita negara, kini hanya semata-mata tertumpu kepada skuad Malaysian Tigress kendalian Dhaarma Raj Abdullah sejak awal tahun ini.

Ia seolah-olah menampakkan MHC mahu mengelak berlakunya pertindihan tugas antaranya bersama ketua jurulatih skuad lelaki negara, Roelant Oltmans yang dibawa masuk pada Oktober lalu.

"Saya dengar dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN) bersama MHC, Datuk Seri Subahan Kamal (Presiden MHC) dikatakan menjelaskan kontrak Walsh akan tamat.

"Ini keputusan yang bagus sebagai Naib Presiden MHC saya percaya kita tidak perlukan dua jurulatih asing kerana kita perlu menanggung gaji yang tinggi sebaliknya hanya perlukan kekal seorang saja.

"Sebab sekarang bajet MSN banyak yang dipotong dan ia secara tak langsung menyebabkan kami pun perlu mengurangkan perbelanjaan," katanya.

Tambah Radhakrishnan yang juga Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), berkata: "Ia masa paling sesuai untuk kita melepaskan Walsh.

"Ini bukan soal masalah peribadi. Sebenarnya dia sudah menjalankan tugasnya dengan baik dalam aspek pembangunan akar umbi tetapi kita juga perlu melihat aspek kegagalan di Piala Dunia 2018 selain kejatuhan ranking semasa skuad negara.

"Jadi, kini lebih baik kita menumpukan perhatian untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sambil berharap pengalaman dimiliki Oltmans dapat memastikan misi kita menjadi kenyataan.

"Pada masa sama saya berharap jurulatih tempatan seperti Arul Selvaraj dan Dhaarma Raj Abdullah dapat mencuri ilmu daripada Oltmans sebab satu hari nanti mereka ini akan mengambil alih pasukan kebangsaan."

Walsh pernah dilantik menjadi ketua jurulatih negara pada 1991 hingga 1993 sebelum dipecat dan kemudiannya dia ke Belanda, Amerika Syarikat dan India sebelum kembali ke Malaysia pada 2015 sebagai pengarah teknikal.

674 dibaca
Berita Harian X