Ahad, 10 Februari 2019 | 10:18pm
GAMBAR fail, Cheong Jun Hoong ketika ditanya pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah menyertai kejohanan Piala Dunia di Rio pada 2016. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Jun Hoong kembali 'terjun' bulan depan

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong mempunyai banyak misi ingin dicapai tahun ini selepas terpaksa berehat lama gara-gara kecederaan lutut.

Begitupun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu menjelaskan dia mahu melaksanakan misi itu secara berperingkat.

Namun Jun Hoong yang berharap dapat kembali bersama skuad terjun kebangsaan pada Mac ini tidak menjelaskan secara terpeinci mengenai misinya itu.

"Saya harap akan kembali menjalani latihan pada Mac ini kerana masih dalam proses pemulihan. Kalau ikutkan perkembangan setakat ini, semuanya berjalan lancar.

"Banyak misi saya tahun ini tetapi saya akan lakukan satu persatu," kata Jun Hoong yang akan terlepas peluang untuk beraksi pada Kejohanan Terjun Siri Dunia di Jepun pada 1 hingga 3 Mac ini.

Pada Ogos lalu, media melaporkan ratu terjun itu menarik diri daripada temasya Sukan Asia Indonesia - Palembang berikutan kecederaan serius di bahagian lutut.

Penerjun kelahiran Ipoh, ini dalam masa sama menegaskan yang dia tidak berdepan masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana jurulatih sekali pun.

Ia selepas jurulatih dari China, Zhang Yukun yang melatih atlet terjun wanita tidak menyambung kontrak selepas mengambil keputusan untuk kembali ke tanah airnya.

223 dibaca
Berita Harian X