Rabu, 6 Februari 2019 | 11:03am
MOHAMAD Ridzuan dinobatkan sebagai Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018, awal pagi tadi. - Foto FB Majlis Sukan Negara Malaysia

Dik Wan rangkul anugerah Asia

KUALA LUMPUR: Atlet para negara, Mohamad Ridzuan Puzi sekali lagi mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018, awal pagi tadi.

Ridzuan menerima anugerah berkenaan daripada Presiden Majlis Paralimpik Emiriah Arab Bersatu, Mohamed Alhameli dan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia, Majid Rashed pada majlis yang berlangsung di Dubai.

"Saya gembira dan berterima kasih kepada Jawatankuasa Paralimpik Asia kerana memberi penghargaan ini. Ia membakar semangat saya untuk terus melakar pencapaian lebih baik selepas ini," kata Ridzuan.

Atlet yang turut dikenali sebagai Dik Wan itu mencipta rekod dunia dalam acara 100m lelaki T36 (celebral palsy) dan rekod Sukan Asia bagi acara lompat jauh pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta, Oktober tahun lalu.

Dia yang meraih tiga emas di Jakarta muncul atlet pertama Malaysia diberi pengiktirafan itu.

Pada temasya di Jakarta, atlet itu mencipta rekod dunia acara 100m lelaki T36 dengan masa 11.87 saat bagi memadam rekod dunia lama, 11.90s milik atlet Russia, Evgenii Shvetcov yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2013 di Lyon.

Ridzuan juga meleburkan rekod Sukan Para Asia acara lompat jauh dengan catatan terbaiknya 5.59m dan memadam rekod lama (5.45m) yang dilakukan Yang Yi Fei pada 2016.

Pada temasya sama, atlet yang mendapat bimbingan jurulatih R Jaganathan itu turut merangkul emas acara 400m.

1462 dibaca
Berita Harian X