Jumaat, 1 Februari 2019 | 5:20pm
DATUK Karim Ibrahim. - Foto Asyraf Hamzah

Jawatan Karim tak terjejas

KUALA LUMPUR: Meskipun ada pihak mendesak Datuk Karim Ibrahim melepaskan jawatan sebagai Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) atas dasar integriti, namun beliau sebenarnya masih berhak meneruskan tanggungjawab dan kedudukan itu.

Menurut Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman, jawatan yang disandang oleh Karim dalam sukan olahraga ketika ini tidak terjejas.

“Setakat ini jawatan Karim sebagai Presiden KOM tidak terjejas kerana undang-undang itu (antarabangsa) tidak terpakai di dalam negara kita.

“Bagaimanapun Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan meneliti perkara itu dan membuat rujukan serta mendengar pendapat pakar undang-undang,” kata Zaiton, ketika menjelaskan mengenai kedudukan Karim selaku presiden badan induk olahraga negara selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuannya.

Terdahulu Karim, memfailkan permohonan rayuan kepada CAS selepas Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) menggugurkan beliau daripada jawatan Ahli Majlis IAAF pada Ogos 2018 selepas panel penilai badan induk olahraga dunia mendapati beliau bersalah kerana melindungi amalan doping di Malaysia.

Semalam Karim turut mendakwa yang dia masih lagi Presiden KOM malah tidak apa perkara yang berubah serta memaklukan keputusan itu hanya membabitkan pelantikannya dalam keanggotaan IAAF.

Bagaimanapun Karim diarahkan membayar kos sebanyak CHF4,000 (RM16,464) kepada IAAF oleh CAS selepas kalah dalam proses rayuannya itu.

Karim sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis IAAF yang dilantik oleh Persatuan Olahraga Asia pada Oktober 2015.

Namun jawatan itu ditarik oleh IAAF selepas media Jerman, ARD menyiarkan dokumentari pada Mac 2016 yang mendakwa Karim melindungi amalan doping di Malaysia.

Karim mengemukakan rayuan kepada CAS pada 17 Disember lalu namun ia ditolak oleh badan berkenaan.

Berita Harian X