Sabtu, 26 Januari 2019 | 4:03pm
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (kanan) menjawab soalan yang diajukan pelajar pada program Youth Now Summit 2019 di Dewan Universiti Multimedia (MMU), Bukit Beruang. - Foto Rasul Azli Samad

Universiti setiap negeri perlu ambil atlet 

MELAKA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan sekurang-kurangnya sebuah universiti di setiap negeri menempatkan atlet negara bagi menyambung pengajian sebagai jaminan masa depan mereka.

Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, melalui memorandum persefahaman (MoU) antara universiti, ia adalah inisiatif kerajaan bagi memperkasa program pendidikan dan kerjaya atlet terutama selepas mereka bersara sebagai ahli sukan.

"Lebih banyak MoU ditandatangani antara universiti dan kita akan memastikan setiap negeri sekurang-kurangnya sebuah universiti boleh menerima ahli sukan yang sedang menjalani latihan.

"Pihak universiti juga boleh memberi kelonggaran kepada mereka dari segi fleksibiliti (masa) dan jadual pembelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena program 'Youth Now Summit' 2019 di Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, kementerian juga memperkukuhkan program Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE) membabitkan tiga komponen utama iaitu aspek pendidikan, kerjaya dan kebajikan atau perlindungan atlet.

"Kita akan laksanakan satu projek perintis iaitu atlet negara yang sedang berkhidmat akan ditempatkan mengikut kesesuaian di sektor swasta, yang akan dimulakan dalam suku pertama tahun ini.

"Ini memastikan mereka mempunyai kerjaya dua landasan. Apabila bersara sebagai ahli sukan, mereka mempunyai portfolio selain sukan, bergantung jadual latihan dan syor jurulatih atau pegawai sukan," katanya.

Steven Sim sebelum ini dilaporkan berkata, selain program pendidikan dan kerjaya, KBS turut menekankan kebajikan dengan memperluaskan perlindungan kesihatan atlet dan bekas atlet kebangsaan dengan menubuhkan pusat sehenti.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan kini sedang memaksimumkan sumber kewangan dengan memperuntukkan bantuan kepada aktiviti dan penganjuran belia.

"Kita perlu ada model untuk menggunakan dana lebih cekap dan mapan. Justeru, sudah tiba masanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia berdiri atas kaki sendiri.

"Apa yang berlaku di sini, kita mengurangkan geran secara terus tetapi tidak kepada penganjuran program atau aktiviti. Mereka (NGO) masih boleh memohon peruntukan bagi tujuan itu, dan kita sentiasa memberi kerjasama," katanya.

280 dibaca
Berita Harian X