Jumaat, 25 Januari 2019 | 6:39pm
PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab. - Foto Saifullizan Tamadi

Voyage dipilih penganjur LTdL 2019-2021

KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan acara terkenal, Human Voyage (M) Sdn Bhd (Voyage) menepati ramalan awal apabila dinamakan sebagai pengurus acara kejohanan lumba basikal lebuh raya terbesar di Asia, Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL2019).

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab dalam satu kenyataan sebentar tadi mengesahkan Voyage akan turut menjadi pengurus acara untuk LTdL 2020 dan 2021.

"Saya baharu sahaja terima panggilan daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan). Ia berkaitan pemilihan tender bagi lantikan syarikat yang akan menganjurkan LTdL bagi tempoh tiga tahun mulai 2019.

"Saya ingin memaklumkan bahawa pihak kerajaan dan KBS memohon supaya MNCF membuat pengumuman (mengenai pelantikan pengurus acara Le Tour de Langkawi 2019) bagi pihak mereka.

“Saya ingin maklumkan Jawatankuasa Tender memilih Voyage. Saya juga telah terima panggilan telefon daripada wakil Jawatankuasa Tender KBS,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MNCF sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Abu Samah berkata, pemilihan berkenaan dibuat merangkumi aspek seperti pengalaman syarikat dan Voyage sudah menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Langkawi International Mountain Bike Challenge selama tiga tahun bermula 2012.

"Syarikat ini juga menganjurkan Le Tour de Langkawi 2015. Pengalaman ini juga meliputi aspek teknikal berbasikal. Saya dimaklumkan oleh Jawatankuasa Tender KBS bahawa mereka turut mengambilkira aspek kewangan syarikat.   

"Dalam hal ini, syarikat ini didapati mempunyai kewangan yang mantap dan menjanjikan penajaan syarikat swasta di negara ini," katanya sambil berjanji MNCF akan membantu daripada segi teknikal.

Berita Harian X