Selasa, 22 Januari 2019 | 7:29pm
PENGURUS Team Sapura Cycling (TSC), SAYUTI Zahit. - Foto Ihsan TSC

Sapura sasar tiga terbaik di LTdL 2019

KUALA LUMPUR: Team Sapura Cycling (TSC) meletakkan sasaran untuk berada di ranking tiga terbaik keseluruhan dan mempertahankan gelaran pelumba terbaik Malaysia di perlumbaan Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL), Mac depan.

Pengurusnya, Sayuti Zahit berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan persembahan memberangsangkan anak buahnya terutama Muhamad Zawawi Azman atau Awie yang muncul pelumba terbaik Malaysia di LTdL tahun lalu.

Tambahan pula, TSC akan diperkuatkan tiga pelumba import baharu negara termasuk Raileanu Cristian dari Maldova serta dua bekas pelumba St George Continental Cycling Team (STG) iaitu Benjamin Dyball dan Marcus Culey (Australia), selain kelibat dua import sedia ada, Jesse Ewart dan Mario Vogt (Jerman).

"Kita juga boleh meletakkan sandaran kepada pelumba tempatan seperti Awie, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil, Muhsin Al Redha Misbah dan Muhammad Nur Aimin Mohd Zarif untuk memberikan saingan sengit kepada pasukan lain pada LTdL kali ini.

"Sebagai persiapan awal, kita akan menghantar pelumba TSC menyertai beberapa pelumbaan di luar negara termasuk Jelajah Herald Sun di Australia (30 Januari hingga 3 Februari 2019), Ronda Philipines (8 hingga 12 Februari), Tour de Taiwan dan Tour de Tochigi di Jepun (Mac) bagi menghadapi saingan LTdL nanti," katanya.

Terdahulu, Sayuti mengesahkan TSC bakal menyertai lebih daripada 20 siri pelumbaan sama ada di dalam dan di luar negeri tahun ini bagi membantu Malaysia layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata, TSC juga meletakkan sasaran untuk berada dalam ranking tiga pasukan terbaik Asia dan terbaik di Malaysia tahun ini.   

Sebelum ini media melaporkan TSC kini melakukan rombakan besar-besaran ke atas barisan pelumba asing bernaung di bawah pasukan berkenaan bagi menghadapi saingan di luar negara dan tempatan seperti LTdL bagi musim ini.

Difahamkan TSC terpaksa berbuat demikian berikutan kegagalan pelumba import berkenaan termasuk Aiman Cayandi (dari Indonesia), Dylan Page (Switzerland), Victor Nino dan Jahir Perez (Columbia) kerana gagal mencapai indeks prestasi utama (KPI) ditetapkan pengurusannya selain kos terlalu tinggi.

111 dibaca
Berita Harian X