Ahad, 13 Januari 2019 | 4:52pm
AZIZULHASNI (tengah) raih emas acara pecut di Kejohanan Trek Asia 2019 di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, kelmarin. - Foto Ihsan FB Dato Amarjit Singh Gill

Azizulhasni akui bergelut sebelum menang

 

KUALA LUMPUR: Azizulhasni Awang berpuas hati menang gelaran juara Asia buat kali kesembilan biarpun mengakui bergelut sebelum mara ke final acara pecut individu lelaki di Kejohanan Trek Asia 2019 di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, kelmarin.

The Pocketrocketman menjelaskan beliau terpaksa menghadapi  pelbagai cabaran, hampir hilang kawalan dan perjalanannya ke final acara pecut umpama 'roller coaster' (turun naik).  

"Corak kayuhan saya semalam umpama 'roller coaster'. Ia agak buruk di pusingan kelayakan apabila hilang kawalan pada selekoh kedua sehingga menyebabkan terlanggar empat 'sponges' menyebabkan saya mencatat 10.194 saat sekali gus mengakibatkan saya menduduki tempat ke-10.

"Secara keseluruhannya kayuhan saya amat perlahan di pusingan kelayakan, menyebabkan perjalanan saya untuk mara ke final acara pecut menjadi amat sukar kerana berhadapan dengan lawan yang kuat sejak peringkat awal. 

"Biarpun keletihan namun ia tidak menghilangkan fokus dan melakukan yang terbaik setiap kali turun beraksi dengan matlamat utama untuk sekurang-kurang mara ke final. 

“Dengan penuh tekad dan kerja keras akhirnya saya berjaya menewaskan pelumba China, Xu Chao untuk meraih pingat emas," katanya.

Azizulhasni menegaskan, biarpun sering berlumba dengan Xu Chao, beliau melihat pelumba dari China itu sentiasa memberikan saingan sengit kepadanya.

"Saya tahu perlumbaan berkenaan akan menjadi tiga pusingan kerana kami berdua berkongsi matlamat, masa dan sama hebat. 

“Xu Chao mengawal perlumbaan dengan baik pada pusingan pertama sehingga saya terpaksa membuat sedikit perubahan strategi di pusingan kedua untuk menyamakan kedudukan dan mengheret perlumbaan ke pusingan penentuan.

"Untuk pusingan penentuan, saya memberikan 'kredit' kepada jurulatih, John Beasley yang memberikan saya taktikal baik dan arahan yang membawa kepada kemenangan saya," katanya.

Dalam pada itu, Azizulhasni juga mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom kerana menang gangsa dalam acara berkenaan.

"Saya berharap kami akan berentap di final untuk merebut pingat emas lain kali. Dia (Shah Firdaus) mempunyai potensi besar dan masa depan yang cerah. Saya percaya dia mampu bergelar juara pada masa depan," katanya.  

Sementara itu, Shah Firduas melahirkan rasa gembira kerana berjaya meraih gangsa dalam acara pecut, selepas mencipta kejutan menang perak acara Keirin.

"Ini adalah hari yang panjang dan perlumbaan yang hebat dalam acara pecut selepas berdepan saingan sengit pelumba Jepun, Kazunari Watanabe dengan penamat podium untuk menang gangsa.

"Ia adalah permulaan yang baik tahun ini selepas menang satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Trek Asia! Tahniah kepada abang besar  @azizulawangofficial kerana menang gelaran juara Asia," katanya di laman Facebooknya.

Berita Harian X