Sabtu, 12 Januari 2019 | 3:27pm
PASUKAN Mata Hari KL Registry. - Foto Luqman Hakim Zubir

Mata Hari cadang pasukan wanita di RLIR 2020

LANGKAWI: Selepas merangkul gelaran kelima berturut-turut dalam kelas IRC1 di Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi, pasukan Mata Hari KL Registry sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk tahun depan.

Menariknya, perancangan jurumudi Vincent Chan itu adalah mahu mewujudkan satu pasukan tempatan yang kesemuanya disertai pelayar wanita.

"Kami mungkin melakukan sesuatu yang berbeza tahun depan kerana sudah meraih gelaran buat kali kelima berturut-turut," kata Vincent.

"Bagi tahun depan, kami harap mempunyai lebih pelayar wanita, mungkin lapan orang di atas bot ini. Itu perancangan kami dan harap ia dapat dilakukan.

"Kami melakukannya kerana pelayar wanita tidak terlalu diketengahkan dalam saingan regatta. Kebanyakan pelayar, 95 peratus daripadanya membabitkan lelaki, jadi kami fikir selain membantu mempromosi pelayaran, ia juga dapat membantu memperkenalkan sukan itu dalam kalangan anak muda di Malaysia."

Ketika ini, mereka mempunyai seorang pelayar wanita di atas bot 'Titan36' dan Vincent berharap, anak buahnya itu mampu mengemudi pasukan untuk saingan musim depan.

"Tahun ini, kami mempunyai seorang wanita dan harap dia dapat belajar secukupnya untuk menjadi jurumudi bagi tahun depan," katanya.

Mata Hari KL Registry merangkul trofi Cabaran LADA-IRC dengan 14 mata keseluruhan, menewaskan pencabar terdekat yang berada di tangga kedua dari Russia, MegaZip. East Marine Emagine (Australia) ketiga.

Mereka menamatkan dua perlumbaan pada hari ini, masing-masing menduduki tangga kedua dan pertama.

"Perlumbaan yang sengit. Kami perlu berusaha keras untuk mengatasi bot dari Australia dan Russia itu. Apapun, kami gembira kerana dapat mengekalkan gelaran buat kali kelima berturut-turut," kata Vincent.

52 dibaca
Berita Harian X