Jumaat, 11 Januari 2019 | 8:07pm
Pasukan THT meraikan kemenangan Piala Sumbangsih selepas menewaskan UniKL menerusi penalti shoot out 3-1. - NSTP/Ghazali Kori

THT tamat badi empat tahun

KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) menamatkan penantian empat tahun selepas merangkul Piala Sumbangsih buat kali pertama dengan menumpaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (UniKL) 3-1 melalui pukulan penalti shoot out di Stadium Hoki Batu Buruk, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan badi kekalahan dalam empat edisi terdahulu biarpun cemas seketika selepas UniKL bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat THT 2-2 hingga tamat permainan.

Terdahulu THT bermula garang meledak jaringan pertama melalui pukulan sudut penalti penyerang sensasi kebangsaan, Faizal Saari pada minit ketiga hasil hantaran pemain import Korea Selatan, Jun Man jie.

THT yang dibimbing pengendali baharu, I Vikneswaran terus mengasak kubu lawan dan berhasil mendapat jaringan kedua juga melalui pukulan sudut penalti bekas 'mesin' pencetak golnya, Jang Jong Hyun pada minit ke-15 untuk mendahului 2-0.

Tersentak jaringan itu, skuad UniKL yang dibimbing Arul Selvaraj menukar taktikal perlawanan dan akhirnya berjaya merapatkan kedudukan melalui pukulan sudut penalti pemain kebangsaan, Razie Rahim pada minit ke-30.

Lima minit berselang Razie sekali lagi berjaya menutup mulut lebih 1,000 peminat setia tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan 2-2 juga melalui pukulan sudut penalti hasil hantaran kapten, Marhan Jalil.

Pada minit ke-55 pertahanan THT, Jong Hyun melepaskan peluang keemasan selepas gagal menyudahkan pukulan sudut penalti sekali gus pemenang ditentukan melalui pukulan penalti shoot out.

Dengan kemenangan itu skuad THT berjaya mencipta sejarah buat kali pertama meraih trofi piala itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

253 dibaca
Berita Harian X