Jumaat, 11 Januari 2019 | 8:05pm
Fadhil demam denggi di Jakarta.

Fadhil 'berkorban' demi impian ke Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR: Pelumba trek negara, Mohd Fadhil Zonis tidak mahu memusnahkan impiannya bersama Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom mara ke Olimpik Tokyo walaupun mengalami demam denggi.

Fadhil yang dijadual beraksi dalam ujian masa satu kilometer hari ini pada Kejohanan Trek Asia yang berlangsung di Velodrom Antarabangsa Jakarta terpaksa menarik diri apabila keputusan ujian darah menunjukkan dia sah mengalami demam denggi.

Ketua jurulatih negara, John Beasley turut berkongsi perkembangan terbaru itu menerusi Instagram miliknya dengan memuji komitmen tinggi dipamerkan Fadhil yang sanggup turun beraksi dalam acara pecut berpasukan.

Acara berkenaan dilihat penting kerana Malaysia dilihat ketinggalan dari segi pungutan mata dengan kejayaan memenangi gangsa akan membantu melonjakkan kedudukan Malaysia. Malah kejohanan peringkat benua itu antara perancangan trio negara untuk meraih podium kerana menawarkan kutipan mata berganda untuk Olimpik berbanding kejohanan lain.

Dia yang demam sehari sebelum Kejohanan Trek Asia di Jakarta bermula, ‘berkorban’ apabila turun beraksi dalam acara pecut berpasukan untuk meraih gangsa pada Rabu bagi memastikan peluang lebih cerah untuk membantu Malaysia mengumpul mata untuk ranking Olimpik.

"Hari ini saya terpaksa menarik diri (satu kilometer ujian masa) namun pecut berpasukan tempoh hari, saya memaksa diri sendiri untuk memberikan yang terbaik demi pasukan dan mata Olimpik.

"Saya tidak mahu pulang dengan tangan kosong," jelasnya yang kini dipantau doktor pasukan di hotel penginapan.

Seorang lagi atlet negara yang turut disahkan demam denggi adalah Eiman Firdaus Mohd Zamri terpaksa dimasukkan ke salah sebuah hospital di Jakarta semalam.

Sementara itu saingan edisi kelapan Kejohanan Trek Para Asia menyaksikan gandingan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama Nurul Suhada Zainal meraih emas acara kejar mengejar individu (tandem).

332 dibaca
Berita Harian X