Jumaat, 11 Januari 2019 | 5:52pm
PASUKAN Hollywood-Provezza beraksi dalam acara kelas Racing pada hari keempat Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke-17 di Royal Langkawi Yacht Club, Kuah. - Foto Luqman Hakim Zubir

THA72 akur kehebatan Hollywood-Provezza

LANGKAWI: Secara matematiknya, pasukan Hollywood-Provezza sudah pun bergelar juara dalam kelas Racing di Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2019 namun dua perlumbaan terakhir esok tetap dilihat sebagai satu keutamaan buat jurumudinya, Ray Roberts.

Pasukan dari Australia itu mengumpul tujuh mata daripada lapan perlumbaan dan kelebihan mereka itu dilihat sukar ditandingi pencabar terdekat yang juga juara bertahan dari Thailand, THA72.

Dengan hari kemuncak saingan esok dijadual menyajikan dua perlumbaan, Roberts jelas tidak mahu terlalu selesa dengan kelebihan dimiliki mereka.

"Kami sentiasa yakin dan melakukan yang terbaik untuk menang tetapi ia bukan satu jaminan," kata Roberts.

"Kami perlu belayar seperti sebuah pasukan profesional. Bot dari Thailand (THA72) sentiasa mengejar rapat, sukar untuk menewaskan mereka.

"Pasukan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) juga begitu, sekiranya mereka mempunyai tuah, mereka boleh menewaskan kami.

"Jadi kami tidak pernah selesa, kami sentiasa berusaha gigih untuk kekal berada di depan dan saya sentiasa mahukan kemenangan. Kami meletak sasaran untuk memenangi kedua-dua perlumbaan esok."

Juara bertahan dalam kelas perdana itu yang dikemudi Kevin Whitcraft, THA72 seakan sudah mengakui kehebatan dimiliki Hollywood-Provezza dengan berkata: "Hollywood terlalu kuat. Mereka mempunyai bot baharu dan krew yang hebat.

"Kami bergelut untuk bersaing dengan mereka tahun ini dan tidak dapat tamatkan mana-mana perlumbaan di tempat pertama. Merkea juga mempunyai kelebihan dalam pelayaran dan mungkin kami akan terus mencuba tahun depan."

56 dibaca
Berita Harian X