Jumaat, 11 Januari 2019 | 4:58pm
PASUKAN Mata Hari KL Registry beraksi dalam acara IRC 1 pada hari kedua Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke-17 di Royal Langkawi Yacht Club, Kuah. - Foto Luqman Hakim Zubir

Peluang Mata Hari pertahan gelaran cerah

LANGKAWI: Vincent Chan mengakui Mata Hari KL Registry harus 'bertahan' sebelum hari kemuncak kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) yang akan menentukan sama ada mereka mampu menyambar gelaran kelima berturut-turut dalam kelas IRC1 atau tidak.

Setakat lapan perlumbaan hari ini, pasukannya itu kekal selaku pendahulu namun Vincent sedar saingan masih terbuka meskipun laluan mereka untuk merangkul trofi Cabaran LADA-IRC dilihat semakin cerah.

Biarpun pencabar utama dari Jepun, Char Chan mengalami masalah dan tidak dapat beraksi hari ini, namun dua pencabar dari Russia, MegaZip dan East Marine Emagine (Australia) mampu menggugat misi mereka.

"Esok (saingan) terlalu terbuka," kata Vincent. "Pasukan Russia belayar dengan baik sekali dan kami perlu mengejar mereka. Emagine juga belayar dengan baik.

"Harap kami mampu bertahan untuk merangkul gelaran kelima berturut-turut. Untuk esok kami perlu mengelak daripada melakukan kesilapan.

"Cuba bertahan (daripada saingan) dua bot utama ini (MegaZip dan East Marine Emagine). Saya berharap kami dapat meraih keputusan yang baik dan kurang melakukan kesilapan."

Pada dua perlumbaan berlangsung hari ini, Mata Hari KL Registry meraih satu kemenangan dalam Perlumbaan 7 dan kedua di Perlumbaan 8 yang menyaksikan kemenangan menjadi milik pasukan dikemudi Alexey Mashkin, MegaZip.

Mengulas masalah layar dihadapi mereka, Vincent berkata: "Dua perlumbaan yang sengit... angin bertiup sekitar 23 hingga 25 knot.

"Pada perlumbaan pertama, kami mengalami kerosakan di bahagian layar, hanya dua minit sebelum kelas disertai dimulakan. Kami berjaya menukar layar lain dan dapat tamatkan perlumbaan di tempat pertama.

"Untuk perlumbaan kedua, ia adalah satu perlumbaan yang panjang. Kami cuba kekal bersaing meskipun kami perlu berhati-hati dengan penggunaan layar baharu ini, jadi kami berjaya untuk dapatkan tempat kedua."

60 dibaca
Berita Harian X