Rabu, 9 Januari 2019 | 6:35pm
PASUKAN Mata Hari KL Registry dari Malaysia ketika beraksi dalam acara IRC 1 pada hari kedua Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 17 di Royal Langkawi Yacht Club, Kuah. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Mata Hari KL Registry buru gelaran kelima berturut-turut

LANGKAWI: Pasukan Mata Hari KL Registry mengakui perebutan gelaran juara dalam kelas IRC1 di kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2019 masih terbuka namun meyifatkan mereka berada di landasan tepat untuk meraih gelaran kelima berturut-turut, kali ini.

Untuk hari kedua saingan, Mata Hari KL Registry yang turut disertai pelayar tempatan berpengalaman, Jeremy Koo setakat ini mendahului kelas IRC1 selepas melakar tiga kemenangan dengan terbaru pada Perlumbaan 3, hari ini.

Namun mereka tidak berupaya mengekalkan momentum kemenangan itu apabila menamatkan dua lagi perlumbaan hari ini di tempat kedua pada Perlumbaan 4 dan ketiga di Perlumbaan 5 yang berlangsung dalam keadaan tiupan angin dan ombak kuat.

"Masih terbuka kerana bot lain juga belayar dengan sangat baik," kata jurumudi pasukan, Vincent Chan. "(Pesaing utama) Bot dari Russia, MegaZip belayar dengan baik dan meraih dua kemenangan hari ini.

"Pasukan dari Jepun, Char Chan juga belayar dengan baik berbanding semalam. Jadi kami jangka persaingan sangat sengit sepanjang minggu ini. Kami berharap dapat mengekalkan rentak dan mempertahankan gelaran sebelum ini.

"Kami memang meletak sasaran (gelaran kelima berturut-turut) itu sebaik saja meraih kejuaraan keempat berturut-turut tahun lalu dan berharap menjadikannya yang kelima berturut-turut kali ini.

"Setakat ini, kami berada di landasan itu tetapi dalam pelayaran dan juga daripada sudut cuaca, banyak cabarannya dan kami perlu berada di kedudukan terbaik untuk kekal berada di atas."

Selepas lima perlumbaan termasuk dua perlumbaan dimenangi pasukan semalam, Mata Hari KL Registry kini mendahului saingan dengan lima mata keseluruhan manakala Char Chan kedua, lapan mata. MegaZip dikemudi Alexey Mashkin berada di kedudukan ketiga dengan sembilan mata.

33 dibaca
Berita Harian X