Selasa, 8 Januari 2019 | 7:41pm
MHC akan kembali menumpukan kepada pembangunan sukan hoki dalam dewan. - Foto hiasan

Hoki dalam dewan disenaraikan semula

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan kembali menumpukan kepada pembangunan sukan hoki dalam dewan dalam usaha memastikan pemburuan dua emas di Sukan SEA Manila 2019 tidak berkubur.

Sebelum ini, sukan berkenaan tidak berada dalam kalendar sukan negara sejak berakhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas MHC enggan memberi tumpuan terhadap perkembangan hoki dalam dewan.

Namun, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, hari ini mengesahkan sukan hoki dalam dewan menjadi salah satu perkara yang disentuh pihaknya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Majlis Sukan Negara (MSN) dan MHC.

"Ia menjadi salah satu perkara dibincangkan tadi dengan kita akan kembali memberi tumpuan penuh kepada pembangunan sukan hoki dalam dewan.

"MSN sudah berjanji akan membantu kita (MHC) dari segi perancangan dan sebagainya.

"Kita akan bekerjasama dengan MSN untuk Sukan SEA akan datang. Walaupun hoki padang tidak dipertandingkan di Manila tetapi kita berjanji akan menterjemahkan dua pingat emas di sana," katanya.

Bagaimanapun, Subahan berkata pihaknya hanya akan memutuskan dalam masa terdekat barisan kejurulatihan bagi skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara.

"Kami akan putuskan selepas mesyuarat jawatankuasa kejurulatihan nanti. Cuma buat masa ini saya dapat pastikan seramai 36 atlet akan mengikuti kem latihan kebangsaan yang terbahagi kepada 12 pemain hoki dalam dewan dan 24 pemain hoki padang," jelasnya.

Berbeza dengan wanita apabila difahamkan skuad hoki padang negara akan membabitkan 21 pemain dengan 12 pemain bagi skuad hoki dalam dewan.

Sebagai rekod, sukan hoki dalam dewan menghadiahkan satu pingat emas dan satu gangsa di temasya Sukan SEA 2017 masing-masing menerusi pasukan lelaki dan wanitanya.

Berita Harian X