Sabtu, 5 Januari 2019 | 5:56pm
Pelumba import baharu TSC Raileanu Cristian dari Maldova. - Foto pinterest.com

Jelajah Herald Sun medan TSC uji pelumba baharu

KUALA LUMPUR: Jelajah Herald Sun di Melbourne, Australia akhir Januari ini bakal menjadi medan pertama buat barisan pelumba Sapura Cycling Team (TSC) menghadapi cabaran perlumbaan musim 2019 termasuk Le Tour De Langkawi (LTdL), pada Mac nanti.

Pengurusnya, Sayuti Zahit berkata, perlumbaan berkenaan juga membolehkan mereka menguji sejauh mana prestasi dan kemampuan sebenar pelumba tempatan dan asing yang baharu mengikat kontrak bersama TSC mulai musim ini.

"Untuk pengetahuan semua pada tahun ini TSC mengambil tiga pelumba import baharu iaitu Raileanu Cristian (Maldova); dua bekas pelumba iaitu St. George Continental Cycling Team (STG), Benjamin Dyball dan Marcus Culey  (Australia), jadi kita akan uji kemampuan mereka di Jelajah Herald Sun.

"Kita melihat ia perlumbaan penting bagi membantu TSC membuat persiapan untuk bersaing LTdL 2019,  di sinilah kita ingin melihat keserasian antara pelumba Malaysia dan pelumba asing baru yang kita ikat untuk 2019.

"Jelajah Herald Sun juga menawarkan saingan menarik kerana pelumbaan berstatus 2.1 Jelajah Oceania banyak disertai pasukan berstatus Pro Tour lain termasuk Sky Cycling Team (Britain), BMC Racing Team (Switzerland) dan Scott Cycling Team," katanya.

Mengulas lanjut, Sayuti berkata, berkata kejayaan di Jelajah Herald Sun juga penting bagi penaja utama TSC iaitu Sapura yang turut mempunyai rangkaian perniagaan di Melbourne.

Sebelum ini media melaporkan TSC kini melakukan rombakan besar-besaran terhadap barisan pelumba asing bernaung di bawah pasukan berkenaan bagi menghadapi saingan perlumbaan di luar negara dan tempatan seperti Le Tour de Langkawi 2019.

Difahamkan TSC terpaksa berbuat demikian kerana kegagalan pelumba berkenaan mencapai tahap KPI (indeks prestasi utama) ditetapkan kepada mereka tahun ini.

Sayuti yang dihubungi mengesahkan hanya dua pelumba asing iaitu Jesse Ewart dari Australia dan Mario Vogt (Jerman) yang disambung kontrak dan akan terus kekal bersama TSC pada 2019.

Difahamkan, empat lagi termasuk Aiman Cayandi (dari Indonesia), Dylan Page (Switzerland), Victor Nino dan Jahir Perez (Columbia) digugurkan kerana gagal mencapai KPI ditetapkan pengurusan TSC, selain kos terlalu tinggi.

Berikutan itu, TSC terpaksa mengambil langkah drastik dengan mengikat tiga pelumba baharu termasuk Raileanu Cristian (Maldova); dua bekas pelumba iaitu St. George Continental Cycling Team (STG), Benjamin Dyball dan Marcus Culey  (Australia). 

TSC juga mengikat dua pelumba tempatan baharu iaitu pemenang pingat emas acara lepas beramai-ramai SUKMA 2018, Mohamad Saari Amri Abd Rasim (Johor) dan Muhamad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri bagi memperkuatkan pasukan bertaraf benua berkenaan mulai tahun ini.

Ketika ini TSC diperkuatkan pelumba seperti pelumba terbaik Malaysia LTdL, Muhamad Zawawi Azman; Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil; Muhsin Al Redha Misbah; Muhammad Nur Aimin Mohd Zariff dan Muhammad Nur Aimin Mohd.

148 dibaca
Berita Harian X