Selasa, 1 Januari 2019 | 4:40pm
STADIUM Hoki Nasional Bukit Jalil.

Kekal main di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Saingan Tan Sri P Alagendara yang bermula Khamis ini tetap dilangsungkan di Padang 1 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil meskipun ia mengalami kerosakan dan akan ditutup untuk kerja baik pulih 11 Februari depan.

Pengarah Kejohanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Jusvir Singh bagaimanapun berkata, ada kemungkinan untuk saingan itu ditukar ke venue lain sekiranya mendapat aduan daripada pasukan yang bertanding selepas berakhir pusingan kalah mati.

"Setakat ini kami akan kekal menggunakan padang 1 untuk saingan Tan Sri P Alagendara.

"Keadaan padang 1 jauh lebih baik berbanding padang 2 yang akan menyebabkan air bertakung jika hujan lebat," katanya.

Mengenai saingan Liga Premier yang akan bermula 11 Januari ini, Jusvir berkata, setiap pasukan sudah dimaklumkan mengenai keadaan kedua-dua padang itu.

"Untuk saingan liga terpulang kepada kelab menentukan venue tuan rumah mereka.

"Jadi, tiga pasukan iaitu TNB, TNB Thunderbolts dan Maybank yang menjadikan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil selaku gelanggang mereka perlu memberi jawapan semula kepada kami sehingga 3 Januari ini mengenai venue baharu yang menjadi pilihan mereka," katanya.

Timbalan Presiden dan Pengerusi Pertandingan MHC, George Koshy menerusi laporan Sukan NSTP hari ini mengesahkan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil akan ditutup bermula 11 Februari depan untuk kerja-kerja baik pulih selepas mengalami kerosakan.

Difahamkan kerja-kerja baik pulih itu akan mengambil masa enam minggu dengan kos baik pulih itu masih di bawah jaminan kontraktor.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal sebelum ini menyuarakan rasa bimbang berhubung keadaan stadium itu kerana Malaysia bakal menganjurkan Final Siri Hoki.

Dua pasukan terbaik daripada kejohanan itu akan mara ke Acara Final Kelayakan Olimpik hujung tahun depan yang menjadi peringkat terakhir sebelum layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

456 dibaca
Berita Harian X