Ahad, 30 Disember 2018 | 6:57pm
KERATAN laporan di BH Online semalam.

Cari alternatif padang lain

KUALA LUMPUR:  Tiga pasukan Liga Premier yang menggunakan Padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil tidak mempunyai pilihan lain selain perlu menggunakan stadium atau padang lain apabila saingan liga bermula 11 Januari ini sekiranya padang 2 masih kekal tidak boleh digunakan berikutan permukaan  yang rosak.

Tiga pasukan dimaksudkan itu ialah TNB, TNB Thunderbolts serta Maybank manakala baki empat pasukan lain mempunyai venue tuan rumah sendiri.

Pengurus pasukan TNB, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor berkata, pihaknya ketika ini masih menunggu maklum balas daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berhubung perkara itu.

"Jika memang padang 2 tak boleh digunakan, kami mempunyai dua pilihan iaitu di Stadium Tun Razak atau Stadium Hoki Pantai sebagai venue tuan rumah. Antara dua venue itu kami lebih selesa untuk menggunakan Stadium Hoki Pantai.

"Apapun kami perlu menunggu maklum balas daripada MHC terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Ketua jurulatih Maybank, Azrul Effendy Bistaman pula berkata, pihaknya berharap dapat menggunakan Padang 1 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil andai padang 2 tidak dapat digunakan.

"Ketika ini kami menjalani latihan di UniKL (Stadium Tengku Abdullah) di Bangi. Mengambil kira faktor jarak, kami lebih selesa untuk beraksi di padang 1.

"Stadium Tun Razak dan Stadium Hoki Pantai agak jauh," katanya.

Pengarah Kejohanan MHC, Jusvir Singh menerusi laporan Sukan NSTP hari ini mengesahkan padang 2 tidak dapat digunakan untuk saingan Piala Tan Sri P Alagendra bermula 3 Januari ini berikutan keadaan permukaan padang yang tidak rata sekali gus tidak sesuai untuk kegunaan perlawanan kompetitif.

372 dibaca
Berita Harian X