Khamis, 27 Disember 2018 | 3:54pm

TSC diperkuat pelumba baharu musim 2019

KUALA LUMPUR: Sapura Cycling Team (TSC) akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap barisan pelumba asing bernaung di bawah pasukan berkenaan bagi menghadapi saingan perlumbaan di luar negara dan tempatan seperti Le Tour de Langkawi 2019, pada tahun hadapan.

Difahamkan TSC terpaksa berbuat demikian kerana kegagalan pelumba berkenaan mencapai tahap KPI (indeks prestasi utama) ditetapkan kepada mereka tahun ini.

Pengurusnya, Sayuti Zahit ketika ditemui mengesahkan hanya dua pelumba asing iaitu Jesse Ewart dari Australia dan Mario Vogt (Jerman) yang disambung kontrak dan akan terus kekal bersama TSC pada 2019.

"Kita terpaksa memulangkan semula (tidak menyambung kontrak) empat pelumba asing termasuk Aiman Cayandi (dari Indonesia), Dylan Page (Switzerland), Victor Nino dan Jahir Perez (Columbia) kerana gagal mencapai KPI ditetapkan pengurusan TSC, selain kos terlalu tinggi.

"Berikutan itu, TSC terpaksa mengambil langkah drastik dengan mengikat tiga pelumba baharu termasuk Raileanu Cristian (Maldova); dua bekas pelumba iaitu St. George Continental Cycling Team (STG), Benjamin Dyball dan Marcus Culey  (Australia). 

"Kami juga menjalankan ujian FTP (Functional Threshold Power) ke atas beberapa pelumba junior termasuk  pemenang pingat acara lebuh raya pada SUKMA 2018, katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Antara pelumba muda dalam radar TSC termasuklah pemenang pingat emas acara lepas beramai-ramai SUKMA 2018, Mohamad Saari Amri Abd Rasim (Johor) dan pencabar utamanya Wan Abdul Rahman Hamdan dari Terengganu.

Ketika ini TSC diperkuatkan pelumba seperti pelumba terbaik Malaysia LTdL, Muhamad Zawawi Azman; Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil; Muhsin Al Redha Misbah; Muhammad Nur Aimin Mohd Zariff; Adiq Husainie Othman dan Muhammad Nur Aimin Mohd.

179 dibaca
Berita Harian X