Khamis, 13 Disember 2018 | 6:00pm
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto Owee Ah Chun

Subahan bidas pengkritik

BHUBANESWAR, India: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal membidas pihak yang meminta Pengarah Teknikal, Terry Walsh supaya meletak jawatan susulan kegagalan pada Piala Dunia di Bhubaneswar, India.

Tegas Subahan, beliau sendiri akan berbuat demikian apabila skuad negara tidak layak untuk beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya tak faham kenapa ramai yang berasa bimbang kerana saya sendiri tak rasa bimbang dan yakin pemain dapat mempamerkan aksi lebih baik dan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Berilah masa buat Roelant Oltmans (ketua jurulatih).

“Memang mudah buat pihak tertentu memberikan komen tapi seingat saya mereka yang memberi komen itu juga tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan utama di pentas antarabangsa.

“Mereka juga sering kali gagal ketika menjadi pemain.

“Berilah sokongan kepada skuad negara dan cuba bersikap adil kepada mereka. Kami akan melakukannya pada April (kempen kelayakan Sukan Olimpik).

“Seperti yang selalu saya katakan jika kami tidak layak ke Sukan Olimpik, saya akan bertanggungjawab sepenuhnya dan meletak jawatan,” katanya.

Sementara itu, Subahan berkata, badan induk itu sudah mempunyai perancangan rapi bagi menghadapi kempen kelayakan Sukan Olimpik di Kuala Lumpur, April depan.

“Saya sudah bercakap dengan Roelant dan kami bercadang untuk membawa pasukan beraksi di Eropah tahun depan sebelum kempen kelayakan Sukan Olimpik.

“Jerman dan Belanda adalah lawan yang diharap dapat ditemui untuk menjadikan pasukan lebih kuat kerana Malaysia mungkin akan sekali lagi bertemu pasukan Eropah pada kempen kelayakan Olimpik kedua pada November,” katanya.

Sukan NSTP semalam melaporkan desakan Naib Presiden MHC, Datuk Radhakrishnan Nair serta Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Majid Manjit Abdullah yang meminta Walsh supaya meletak jawatan kerana dikatakan tidak memberi impak besar sepanjang kira-kira tiga tahun menggalas tugas selaku pengarah teknikal.

305 dibaca
Berita Harian X