Sabtu, 8 Disember 2018 | 8:33am
Deontay Wilder dan Tyson Fury beraksi dalam satu perlawanan di Los Angeles, minggu lalu. - Foto AFP

Wilder, Fury bakal bertemu semula

LOS ANGELES: Majlis Tinju Dunia (WBC) membenarkan satu ‘perlawanan semula’ antara juara heavyweight dari Amerika Syarikat, Deontay Wilder dan Tyson Fury dari Britain selepas mereka seri dalam satu perlawanan di sini minggu lalu.

“Wilder dan Fury memberikan aksi tinju yang terbaik dalam divisyen heavyweight sejak dulu lagi dan mencipta permintaan hebat daripada penyokong untuk melihat satu perlawanan semula,” kata WBC dalam satu kenyataan.

Wilder (40-0-1, 39 KO) pernah menjatuhkan Fury (27-0-1, 19 KO) sebanyak dua kali termasuk ketika satu kombinasi tumbukan kiri dan kanan yang seakan sudah pasti bakal menamatkan perlawanan.

Fury, yang bangkit dan memberi reaksi positif kepada pengadil, pada awalnya mengawal perlawanan dengan begitu baik sekali.

Seorang pengadil memberikan 115-111 kepada Wilder manakala satu keputusan 114-112 kepada Fury dan ketiga 113-113.

Presiden WBC, Mauricio Sulaiman berkata, kedua-dua peninju itu satu kredit kepada arena tinju.

“Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Deontay Wilder dan Tyson Fury atas pertarungan yang hebat di gelanggang dan semangat kesukanan mereka selepas perlawanan itu,” katanya.

Kedua-dua peninju meluahkan keinginan untuk pertembungan semula dengan Wilder mengulangi hasratnya itu dalam satu panggilan video, Selasa lalu.

“Saya sanggup dan bersedia untuk memberikan peluang kepada Fury dengan secepat mungkin,” kata Wilder. “Adalah tepat untuk memberikan Fury satu perlawanan semula secepat mungkin.

“Saya bersedia apabila dia juga sudah bersedia untuk perlawanan itu. Saya bersedia memberikan penyokong apa yang mereka mahukan dan menamatkan semua perdebatan ini.” - Reuters

201 dibaca
Berita Harian X