Jumaat, 30 November 2018 | 9:53pm
Goh V Shem-Tan Wee Kiong masih boleh menjadi taruhan terbaik Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. - Arkib NSTP/Eizairi Shamsudin

Choong Hann mahu beri masa buat V Shem-Wee Kiong

 

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara yang sedang bergelut, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, masih boleh menjadi taruhan terbaik Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi mereka perlu bekerja keras memperbaiki beberapa kelemahan.

Ini pandangan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, selepas persembahan buruk pasangan nombor 1 negara itu musim ini.

Selepas gagal melayakkan diri pada kejohanan penutup musim, Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF di Guangzhou, China, V Shem-Wee Kiong berdepan prestasi buruk sekali lagi apabila tewas pada pusingan kedua Masters Korea awal minggu ini.

Mengenai program baharu dirangka buat bekas pasangan nombor 1 dunia itu, Coong Hann berkata: "Ketika ini tiada. Saya perlu berbincang dengan Paulus (Firman), yang juga ketua jurulatih beregu lelaki dan kami mengenalpasti beberapa masalah dihadapi pasangan berkenaan.

"Ketika Masters Korea adalah kejohanan terakhir tahun ini, kami ada tempoh sebulan penuh untuk memperbaiki masalah ini dengan mereka. Secara jujur saya tahu mereka mahu bangkit tetapi mereka mesti bekerja keras. Tidak cukup dengan hanya kata-kata.

"Mungkin mereka perlu memperbaiki kemahiran mereka dan mungkin pergerakan mereka, namun kami akan membuat analisis. Perancangan utama ialah supaya mereka sedia untuk Olimpik 2020 bermula 1 Januari."

Tahap kesabaran semakin berkurangan terhadap V Shem-Wee Kiong, yang hanya sekali mara ke final daripada 12 kejohanan tahun ini.

Choong Hann bagaimanapun mahu memberikan pasangan itu sedikit masa untuk membuktikan kemampuan mereka, ketika dia mahu mereka bermain tiga kejohanan (Masters Thailand, Malaysia dan Indonesia) pada Januari.

"Masters Malaysia pastinya perlu disertai kerana ia kejohanan kita, dan kita harap mereka akan bermain di Thailand dan Indonesia. Ia sudah ada dalam perancangan dan kita akan mengesahkannya tidak lama lagi," kata Choong Hann.

351 dibaca
Berita Harian X