Jumaat, 23 November 2018 | 7:52pm
NISHEL Kumar - Foto OSMAN ADNAN

ADAMAS akan terus buru atlet angkat berat guna doping

KUALA LUMPUR: Atlet angkat berat akan terus mendapat perhatian "istimewa" Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) bagi memastikan sukan berkenaan tidak lagi terpalit dengan isu penggunaan bahan terlarang.

Penolong Pengarah ADAMAS, Nishel Kumar menegaskan secara keseluruhan angkat berat sudah mempunyai lapan kes sepanjang tahun ini dan mereka akan terus "memburu" atlet yang melakukan kesalahan doping.

"Kami bukan mahu mencari kesalahan namun sudah terbukti sukan angkat berat bermasalah dan kami akan terus meningkatkan ujian terhadap atlet mereka. Mereka sudah mempunyai lapan kes sepanjang tahun ini (tidak termasuk kes Hafifi Mansor yang berlaku  tahun lalu) .

"Jadi lebih banyak sampel akan diambil sehingga kita berpuas hati mereka bersih sepenuhnya. Agensi Anti Doping Dunia (WADA) sememangnya tegas dalam perkara ini dan adalah lebih baik atlet tidak melakukan penipuan dalam aspek ini," tegasnya.

Beliau mengulas mengenai langkah Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menjatuhkan hukuman empat tahun terhadap lima atletnya selepas disahkan positif doping.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata atlet terbabit adalah Hafifi Mansor yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad dan tiga atlet pelapis - Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd Nordin dan Ronny Jesos.

"Kita berpuas hati dengan hukuman  dijatuhkan kerana semua kesalahan  membabitkan penggunaan steroid yang berada dalam kategori S1. Jadi tempoh hukuman maksimum adalah wajar namun terpulang kepada mereka untuk mengemukakan rayuan kepada PABM," jelasnya.

Selain empat kes yang diumumkan PABM (tidak termasuk Hafifi), terdapat seorang atlet "kantoi" semasa Pra-Sukan Malaysia (SUKMA) manakala tiga lagi disabitkan penggunaan bahan terlarang semasa temasya berlangsung di Perak sekali gus lapan kes keseluruhan yang berlaku tahun ini.

Beliau menasihatkan atlet agar mengelakkan daripada menggunakan bahan terlarang kerana ujian untuk "menjerat" mereka semakin canggih.

"Sebagai contoh, walaupun sampel disahkan negatif semasa ujian dilakukan di makmal, keputusan akan dimasukkan ke dalam sistem dikendalikan WADA di mana ia boleh mengenalpasti dan mengumpul rekod ujian yang lepas. Sekiranya terdapat unsur atau kandungan yang disyaki, sistem akan memberi amaran dan mungkin menyebabkan tindakan lanjut dijalankan," katanya.

66 dibaca
Berita Harian X