Jumaat, 9 November 2018 | 8:13pm
Ooi Tze Liang beraksi dalam acara 3 meter papan anjal lelaki pada Grand Prix Terjun FINA yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Ooi Tze Liang merangkul pingat emas acara 3 meter papan anjal lelaki pada Grand Prix Terjun FINA yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Tze Liang tepati ramalan

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, penerjun senior negara Ooi Tze Liang mudah merangkul pingat emas acara 3 meter papan anjal lelaki pada Grand Prix Terjun FINA yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, hari ini.

Tanpa penyertaan penerjun utama dunia, Tze Liang mudah mengumpul 428.45 mata (m) bagi memenangi emas, jauh meninggalkan penerjun tempat kedua, Hrvoje Brezovac dari Croatia dengan perbezaan 78.15m sementara penerjun Singapura, Timothy Lee ketiga dengan 320.85m.

"Saya rasa setiap kejohanan tak kiralah ramai peserta atau tidak, senang atau tidak, nasib baik atau tidak, saya masih perlu melakukan lompatan sehabis baik dan lancar.

"Walaupun kurang penyertaan pada kejohanan kali ini, saya berpuas hati dengan persembahan saya tadi," kata Tze Liang di sini hari ini.

Tze Liang berkata beliau menghadapi sedikit kesukaran pada peringkat kelayakan di sebelah pagi namun akhirnya memperoleh persembahan konsisten pada pusingan final.

"Saya tetap mahu sertai kejohanan kali ini kerana mahu merasai suasana pertandingan... Jadi kejohanan ini tetap penting untuk saya mendapatkan pengalaman dalam setiap kejohanan yang saya sertai," katanya.

Penerjun berumur 24 tahun itu berkata beliau kini dalam persediaan bagi menghadapi kalendar tahun hadapan yang pastinya tertumpu kepada kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Gandingan penerjun muda, Loh Zhiayi-Ong Ker Ying yang beraksi dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita turut membawa pulang emas biarpun hanya mengumpul 250.56m.

Penerjun pelapis negara, Kimberly Bong pula merangkul gangsa acara 10 meter platform wanita apabila memperoleh 264.45m di belakang penerjun China, Xu Yijin yang memenangi emas (336.10m) dan penerjun Australia, Laura Hingston yang memperoleh perak (289.75m).

Sementara gandingan Bertrand Rhodict Lises-Enrique Harold juga memenangi gangsa acara 10 meter platform seirama lelaki apabila mengumpul 268.47m apabila ketinggalan di belakang gandingan China, Duan Yu-Wang Zewei yang memenangi emas (371.04m) dan gandingan Australia, Brodie Scapens-Sam Fricker (320.31m) berada di tempat kedua.

ends

517 dibaca
Berita Harian X