Jumaat, 9 November 2018 | 7:03pm
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto ASYRAF HAMZAH

ESM harap Dota 2, Mobile Legends dipertandingkan

KUALA LUMPUR: Selepas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan eSports bakal menawarkan pingat di Sukan SEA Filipina 2019, Persatuan eSports Malaysia (ESM) berharap empat permainan pilihan mereka turut dipertandingkan di temasya dwitahunan berkenaan.

 Setiausaha Agung ESM, Rinie Ramli berkongsi kegembiran selepas pengesahan eSports sebagai acara yang dipertandingkan dan mengakui Malaysia mempunyai potensi untuk membawa pulang emas.

 Bagaimanapun, emas pertama negara dalam acara berkenaan bergantung kepada pemilihan permainan negara tuan rumah.

 "Saya rasa ia berita baik namun saya percaya mereka masih belum memilih permainan yang bakal dipertandingkan, jika ia berkaitan dengan Filipina, kami tahu mereka juga bakal memilih permainan yang sama dimainkan di Malaysia.

 "Jika itu yang terjadi, atlet kita mampu untuk menyumbang pingat buat negara," katanya.

 Rinie menamakan, Dota 2, Mobile Legends, Tekken, FIFA dan Pro Evolution Soccer (PES) sebagai permainan yang memberi kelebihan buat atlet negara.

 "Berdasarkan rantau dan Sukan SEA, jika semua permainan ini dipilih, kita sekurang-kurangnya sudah boleh berada dalam kedudukan tiga terbaik," katanya.

 Dalam laporan Philippines Daily Inquirer, eSports dijangka menawarkan tiga emas di Sukan SEA edisi ke-30 itu yang berlangsung dari 30 November hingga 10 Disember.

2169 dibaca
Berita Harian X