Khamis, 8 November 2018 | 8:26pm
BARISAN penaja memberi sokongan pada Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting-Selangor 2018. - Foto Ihsan penaja

Kejohanan Tenis Antarabangsa Genting-Selangor sasar 300 penyertaan

KUALA LUMPUR: Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting-Selangor 2018 yang bakal berlangsung 24 hingga 28 November ini menyasarkan lebih 300 penyertaan dari dalam dan luar negara.

Kejohanan edisi ke-16 yang dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Persatuan Tenis Selangor (STA) itu akan diadakan di empat lokasi termasuklah Kompleks Sukan MBPJ, Gelanggang Tenis SS 3/14, Kompleks Sukan PKNS dan Kompleks Sukan Astaka Petaling Jaya.

"Hasil kerjasama dengan STA, MBPJ berjaya mencungkil bakat baharu khususnya menerusi program pembangunan MBPJ yang dilaksanakan sejak tahun 1990 lagi.

"Penyertaan peserta luar negara akan meningkatkan lagi kemahiran dan mutu permainan peserta tempatan di samping menambah pengalaman dalam menyertai kejohanan peringkat antarabangsa," menurut Unit Komunikasi Korporat MBPJ dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara negara yang menghantar peserta ialah Filipina, Singapura, Sri Lanka, Nepal, Vietnam, Korea Selatan, Indonesia, Uzbekistan dan Taijikistan.

Kejohanan kali ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM8,820.

103 dibaca
Berita Harian X