Khamis, 8 November 2018 | 8:07pm
SKUAD sepak takraw Sabah menerima jumlah keseluruhan insentif RM56,700. - Foto IHSAN KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN SABAH

Atlet memanah Sabah terima 'durian runtuh'

KOTA KINABALU: Atlet memanah Sabah, Eugenius Loh Foh Soon, menerima 'durian runtuh' kerajaan negeri apabila mendapat insentif RM34,750 susulan kejayaan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Perak.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Tinggi Kota Kinabalu itu merangkul empat pingat emas dan dua perak. Dia juga memperbaharui dua rekod temasya dan menyamai satu rekod kebangsaan, sekali gus dinobatkan olahragawan di temasya kali ke-18 itu.

"Saya sangat gembira dan bersyukur kerana ini adalah insentif atau hadiah paling besar saya pernah diterima setakat ini.

"Sebahagian besar daripada insentif ini saya akan simpan untuk kegunaan masa depan, mungkin untuk menyambung pelajaran,” katanya selepas majlis makan malam dan penyampaian skim insentif kemenangan kepada atlet Sukma Sabah, malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Frankie Poon Ming Fung; Pembantu Menteri, Arunarnsin Taib; Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah, Datuk Louis Rampas; Pengarah Majlis Sukan Negeri, Terrance Edward Pudin dan Ahli Majlis Sukan Negara, Batholomew Jingulam.

Eugenius berkata, ketika ini dia melupakan seketika sukan memanah kerana mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran, terutama bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), minggu depan.

"Matlamat saya bukan sekadar berjaya dalam sukan kerana saya juga ingin mencapai kejayaan dalam pelajaran.

"Jika berpeluang melanjutkan pengajian, saya mungkin terpaksa memilih sama ada meneruskan karier sebagai atlet atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Terdahulu, insentif berjumlah RM406,700 diberikan kepada atlet Sabah yang meraih pingat pada Sukma 2018 dengan pasukan sepak takraw wanita menerima jumlah keseluruhan terbanyak iaitu RM56,700.

Pasukan lain yang turut menerima insentif mengikut kategori sukan ialah hoki iaitu sebanyak RM48,600; olahraga (RM36,950); pencak silat (RM34,950); memanah (RM32,7500); akuatik (RM27,900); ragbi (RM27,000) dan angkat berat (RM26,600).

Sukan karate menerima RM21,800 diikuti pelayaran (RM19,100); tenpin boling (RM12,000); tinju (RM10,200); berbasikal (RM9,400); Muay (RM9,150); bola sepak (RM6,400); gimnastik artistik (RM4,700); judo (RM4,200); skuasy (RM3,300); boling padang (RM2,300); serta judo (RM700).

294 dibaca
Berita Harian X