Khamis, 8 November 2018 | 4:13pm
Hanis Nadiah Onn (kiri) dan Wan Norfaiezah Saiuti.

Wespen tak mahu lepaskan Hanis, Norfaiezah 

KUALA LUMPUR: SV Zehlendorfer Wespen tidak menunggu lama apabila sudah menyuarakan hasrat kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk melanjutkan kontrak dua bintang skuad hoki negara, Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti yang berakhir baru-baru ini.

Hanis, 21, dan Norfaiezah, 22, yang masing-masing beraksi di posisi penyerang dan tengah tampil meyakinkan sepanjang separuh kempen pertama Bundesliga biarpun pendatang baharu liga tertinggi Jerman itu terperosok di kedudukan dua terbawah.

Menurut pengurus Wespen, Bernd Rannoch, dalam satu surat permohonan kepada MHC, pihaknya berminat untuk menyambung kontrak kedua-dua pemain itu tatkala semuanya kini bergantung kepada kebenaran badan induk itu.

"Kami dengan penuh rasa hormat ingin meminta kelulusan anda (MHC) untuk membenarkan Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti beraksi buat SV Zehlendorfer Wespen daripada 13 Mac hingga 13 Mei 2019.

"Segala perbelanjaan termasuk tiket penerbangan, kemudahan tempat tinggal dan elaun sepanjang tempoh di Jerman di bawah tanggungjawab kami," katanya selepas khidmat kedua-dua pemain itu tamat pada 30 Oktober lalu.

Wespen menamatkan pusingan pertama Bundesliga di kedudukan ke-11 dengan lapan mata daripada keseluruhan 14 perlawanan tatkala saingan berkenaan sudah menuju rehat pertengahan musim.

Sepanjang tempoh itu menyaksikan Hanis dan Norfaiezah yang banyak diturunkan dalam kesebelasan utama masing-masing meledak satu gol daripada 12 penampilan, selepas hanya tiba ke kota Berlin pada aksi ketiga gara-gara komitmen di Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Ketika benua Eropah mula memasuki musim sejuk, semua pasukan kini mula memusatkan tumpuan dalam menghadapai kejohanan hoki dalam dewan sebelum pusingan kedua liga bersambung semula pada Mac hingga Mei depan.

Selain Hanis dan Norfaiezah, dua lagi pemain Nuraini Rashid dan Fatin Shafika Mahd Sukri yang beraksi bersama Butterfly Roma HC di Itali turut mahu dikekalkan oleh kelab mereka itu.

785 dibaca
Berita Harian X