Rabu, 7 November 2018 | 8:48pm
MAE Chen

Medan penerjun pelapis tunjuk belang

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara akan menampilkan barisan pelapis dan remaja bagi mengibarkan cabaran pada Grand Prix FINA yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur.

"Bagi Grand Prix tahun ini, kami menyenaraikan kebanyakannya penerjun pelapis dan remaja.

"Ini bagi memberikan mereka peluang untuk bertanding dengan penerjun pasukan luar dan salah satu cara untuk memberi motivasi yang lebih bagi mereka berusaha lebih kuat," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen kepada NSTP di sini hari ini.

Kecuali penerjun senior Ooi Tze Liang, ASUM menurunkan penerjun pelapis lelaki dan wanita terutama sekali mereka yang menyerlah pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak pada September lalu.

Penerjun senior kebanyakan direhatkan daripada menyertai sebarang kejohanan selepas berakhirnya Sukan Asia di Indonesia Ogos lalu dan hanya akan kembali menyertai kejohanan bermula kalendar tahun depan. 

Antara negara yang turut serta pada Grand Prix di Kuala Lumpur ialah China, Amerika Syarikat, Britain, Kanada dan Qatar.

Selepas Kuala Lumpur, masih ada dua lagi siri Grand Prix untuk tahun ini iaitu di Gold Coast pada hujung minggu depan sebelum melabuhkan tirainya di Singapura pada 23 hingga 25 November ini.

Info 

Senarai penerjun negara di Grand Prix Kuala Lumpur

Lelaki: Enrique Harold, Syafiq Puteh, Ooi Tze Liang, Enrique Harold, Bertrand Rhodict Lises

Wanita: Kimberly Bong, Traisy Vivien Tukiet, Loh Zhiayi, Ong Ker Ying

181 dibaca
Berita Harian X