Rabu, 7 November 2018 | 7:34pm
JESSE Ewart

Ewart kekal jersi kuning

KUALA LUMPUR: Biarpun sekadar menduduki tempat ke-23 pada peringkat keempat Tour De Singkarak hari ini, ia sudah cukup untuk membolehkan pelumba Sapura Cycling Team (TSC), Jesse Ewart mempertahankan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan siri jelajah berstatus Asia Tour itu.

Pelumba dari Australia itu muncul pendahulu keseluruhan selepas mencatat masa 15 jam 51 minit 32 saat (s) dengan perbezaan hanya 2s di depan pelumba Thailand Continental Cycling Team (TCCT), Ariya Phounsavath (kedua).

Terdahulu, Ewart terpaksa berpuas hati menduduki tempat ke-23 dalam perlumbaan sejauh 144 kilometer (km) dari Padang ke Agam selepas ketinggalan 1.29s di belakang pemenang Thanakhan Chaiyasombat dari TCCT yang mencatat masa terpantas 3:52.06s.

Pengurus TSC, Sayuti Zahit menyifatkan kejayaan Ewart mengekalkan jersi kuning selepas merampasnya daripada pendahulu keseluruhan pada peringkat kedua iaitu pelumba Ningxia Sports Lottery - Livall Cycling Team, Ukraine, Oleksandr Polivoda, adalah pencapaian luar biasa.

"Tahniah kepada Jesse Ewart kerana berjaya mempertahankan jersi kuning dan saya harap dia dapat kekal sebagai pendahulu keseluruhan sehingga peringkat kelapan (terakhir).

"Saya juga gembira dengan kerjasama erat ditunjukkan semua pelumba TSC yang berjaya mengawal peloton dengan baik dalam perlumbaan hari ini," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Perlumbaan diteruskan dengan peringkat kelima esok yang bakal menyaksikan semua pelumba akan berkayuh dari Kota ke Pasaman sejauh 170.5km.

44 dibaca
Berita Harian X