Jumaat, 26 Oktober 2018 | 1:15pm
TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim mengadakan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Berita baik buat atlet

KUALA LUMPUR: Perkhabaran gembira buat atlet negara apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan dua inisiatif baharu bagi memberi jaminan masa depan yang lebih baik kepada mereka.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim berkata, pihaknya menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) akan meluaskan perlindungan kesihatan selain memperkenalkan projek perintis bagi menempatkan atlet bekerja dengan syarikat swasta atau awam bermula tahun depan.

“Dilema utama yang dialami atlet di Malaysia adalah bimbang dengan masa depan mereka. Mereka bimbang tiada jaminan masa depan selepas bersara.

“Jadi, dua inisiatif ini bagi memberi jaminan kepada mereka. Kami mahu apabila atlet turun ke gelanggang mereka memberi fokus sepenuhnya dalam pertandingan,” kata Steven ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat swasta bagi menjayakan inisiatif menempatkan atlet bekerja dengan syarikat berkenaan.

“Atlet tidak menjalani latihan sepanjang hari dengan hanya tiga hingga enam jam sehari diperlukan untuk latihan. Jadi, masa yang terluang itu mereka boleh buat pilihan sama ada mahu melanjutkan pengajian atau bekerja di syarikat swasta.

“Kami sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat swasta dalam bidang perbankan, teknologi maklumat dan automotif, mereka menyambut baik inisiatif ini malah atlet juga memberi maklum balas positif. Butiran lanjut seperti tempoh masa bekerja, gaji atau elaun dan sistem pemilihan itu akan diputuskan nanti.

“Buat permulaan, kami akan bekerjasama dengan 10 syarikat dulu dan berharap dapat menghantar kumpulan pertama bermula tahun depan,” katanya.

14 dibaca
Berita Harian X