Selasa, 23 Oktober 2018 | 7:06pm
DR Ramlan Abdul Aziz ketika sidang media mengenai isu doping atlet-atlet negara di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Lagi kes doping babitkan atlet SUKMA

 

PUTRAJAYA: Satu lagi kes penyalahgunaan bahan terlarang membabitkan atlet bertanding di temasya Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA) Perak dikesan. 

Ia dimaklumkan Pengarah Agensi Anti- Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz bagi menjadikan jumlah keseluruhan empat kes positif doping di SUKMA - tiga daripada angkat berat dan satu judo.

Jumlah berkenaan bagaimanapun mungkin bertambah apabila empat lagi sampel masih diuji di Makmal Ujian Anti Doping di New Delhi, India kerana menimbulkan keraguan menyebabkan makmal berkenaan memohon membuat ujian lebih terperinci biarpun ujian sebelum ini negatif. 

Ramlan memaklumkan kes terbaru dikesan itu membabitkan atlet lelaki berusia 21 tahun dari Pahang dan ia adalah kes kedua membabitkan atlet sama selepas dikesan positif buat kali pertama pada 2016 kerana mengambil steroid anabolik.

“Kali ini atlet itu dikesan mengambil dua bahan terlarang iaitu methylhexaneamine dan dimethylbutlamine sejenis bahan rangsangan dalam kategori S6 (senarai bahan rangsangan diharamkan 2018).

“ADAMAS sudah memaklumkan perkara itu kepada Persatuan Angkat Berat Malaysia dan Majlis Sukan Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Untuk rekod dua kes sebelum ini membabitkan atlet angkat berat dari Terengganu, seorang lelaki dan seorang wanita berusia 18 tahun. Kedua-dua mereka dikesan mengambil bahan larangan methylhexaneamine. 

Seorang lagi atlet judo wanita dari Perak berusia 21 tahun yang meraih pingat turut positif doping bahan triamcinolone acetonide (tergolong dalam kategori S9 glucocorticoids, senarai larangan 2018).

Pada sidang media berlangsung di pejabat ADAMAS, di sini, Ramlan berkata, sebanyak 176 sampel daripada atlet yang meraih emas dan perak diambil sepanjang temasya SUKMA 2018 berlangsung.

Manakala sebanyak 992 ujian dijalankan sepanjang tahun 2018 dengan 13 ujian didapati positif. 

Ia membabitkan lapan kes daripada sukan angkat berat, satu kes masing-masing dari sukan bola sepak, olahraga, renang, bina badan dan judo.

Ia menunjukkan peningkatan kes sebanyak 0.5 peratus berbanding 2017 iaitu lima kes positif. 

63 dibaca
Berita Harian X