Isnin, 15 Oktober 2018 | 10:15am
DEONTAY Wilder

Wilder mohon maaf isu tinju maskot

LOS ANGELES: Juara heavyweight tinju dunia, Deontay Wilder memohon maaf selepas melepaskan tumbukan ke atas maskot sehingga menyebabkannya terjatuh ketika program televisyen berlangsung.

Wilder yang muncul di rangkaian ESPN mempromosikan perlawanan bagi merebut gelaran itu pada Disember ini akan menentang peninju Britain, Tyson Fury diminta untuk melakukan demonstrasi kekuatan tumbukannya dengan menumbuk maskot - lelaki yang memakai kostum bertema burrito.

Tumbukan itu menyebabkan lelaki yang memakai maskot itu terjatuh ke lantai dan ESPN menafikan laporkan yang mengatakan mangsa mengalami patah rahang.

“Saya dengan rendah hati memohon maaf kepada lelaki yang berani itu kerana membuatkan dia cedera (jika ia benar),” kata Wilder dalam laman sosial Instagram.

“Saya kagum dan menghormatinya kerana keberanian dan kesanggupannya untuk ditumbuk .

“Jika benar @nacionespn saya secara peribadi mahu menjemput anda menyaksikan perlawanan saya pada 1 Disember ini.”

Sementara itu Wilder turut menyangkal laporan yang mengatakan dia tidak tahu ada orang di dalam kostum itu.

“Apa saja laporan yang mengatakan saya tidak tahu bahawa ada orang di dalamnya adalah tidak tepat,” kata Wilder di Instagram.

Wilder, adalah juara Pertandingan Tinju Dunia belum pernah tewas dalam 40 perlawanan sebelum ini. Dia akan bertarung dengan Fury di Los Angeles pada 1 Disember ini. - AFP

Berita Harian X