Isnin, 8 Oktober 2018 | 2:17pm
SYED Mohd Syafiq Syed Cholan. - Foto Owee Ah Chun

Sedia galas tugas

KUALA LUMPUR: Pertahanan skuad hoki negara, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan bersedia untuk menggalas tugas selaku pakar pukulan sudut penalti pada saingan Trofi Juara-Juara Asia di Oman, bermula 18 Oktober ini.

 Pemain muda negara itu sedia melakukannya selepas pengambil utama pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abdul Rahim tidak dapat beraksi di Oman berikutan kecederaan hamstring dialaminya ketika saingan empat penjuru di Darwin, Australia, bulan lalu.

 Syed adalah pakar pukulan sudut penalti untuk kelabnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada saingan Liga Hoki Malaysia, namun masih belum diberi kepercayaan melakukannya bersama skuad negara.

 Ketika ini selain Razie, Faizal Saari serta Shahril Saabah juga mempunyai kemampuan untuk menyempurnakan pukulan sudut penalti.

 "Sebenarnya saya tidak terlalu memikirkan perkara ini kerana mungkin masih baru dalam skuad senior dengan rakan seperti Faizal dan Shahril mampu melakukannya.

 "Tapi andai saya terpilih ke Oman dan diberi kepercayaan untuk menggalas tugas pukulan sudut penalti, saya sedia melakukannya," katanya.

 Jelas Syed, meskipun sudah lama tidak menggalas tugas itu, dia yakin masih mampu melakukannya dengan latihan berterusan.

 "Apapun fokus saya ketika ini adalah untuk membantu skuad negara di Trofi Juara-Juara Asia dan selepas itu cuba mendapat tempat ke Piala Dunia di Bhubaneswar pula," katanya yang mengakui pernah sekali diberi peluang melakukan pukulan sudut penalti ketika di Sukan Asia Jakarta dan Palembang, bulan lalu.

 Selain Razie, skuad negara juga sebelum ini sudah kehilangan khidmat Mohd Izad Hakimi Jamaluddin dan Najmi Farizal Jazlan.

 Izad mengambil keputusan untuk berehat seketika dengan alasan urusan peribadi sementara Najmi tidak kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan selepas beraksi di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April lalu.

 Trofi Juara-Juara Asia akan berlangsung di Muscat dari 18 hingga 28 Oktober.

Berita Harian X