Ahad, 30 September 2018 | 4:33pm
SKUAD hoki lelaki negara mungkin mendapat sentuhan pengendali terkemuka dari Belanda, Roelant Oltmans. - Foto fail Reuters

Oltmans latih Malaysian Tigers?

 

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara mungkin mendapat sentuhan pengendali terkemuka dari Belanda, Roelant Oltmans yang dikatakan akan menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan Malaysian Tigers dalam masa terdekat.

Ini selepas kelibat bekas ketua jurulatih Pakistan dan India itu dilihat berada di sebuah hotel di ibu negara dengan beliau dikhabarkan sudah menemui Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal, semalam.

Seperti diketahui, skuad negara baharu saja dipalit kekecewaan terlepas peluang keemasan untuk memenangi pingat emas Sukan Asia Indonesia 2018 sekali gus turut kehilangan tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila tewas kepada Jepun di final.

Kegagalan itu pastinya meninggalkan kesan mendalam, malah wujud dakwaan bahawa ketua jurulatih ketika ini Stephen Van Huizen - yang meminta pengecualian daripada bersama pasukan ke Kejohanan Kejohanan Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin 2018 (dua minggu lalu) - sudah mengangkat bendera putih.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi mengenai posisi apa akan ditawarkan kepada Oltmans yang pernah membimbing Belanda meraih pingat emas Sukan Olimpik 1996 dan muncul juara Piala Dunia 1998 di Utrecht.

"Setahu saya beliau memang berada di Malaysia, itu memang 100 peratus betul. Tetapi saya tidak tahu apa jawatan yang akan ditawarkan kepadanya," kata sumber terdekat MHC yang enggan didedahkan namanya.

"Melalui pengamatan saya, beliau mungkin akan dilantik menjadi ketua jurulatih kali ini kerana kita ada beberapa misi penting tahun ini selain perlu mengharungi kempen kelayakan Sukan Olimpik tahun depan," katanya.

Dengan tempoh yang semakin suntuk, Oltmans, 64, dilihat calon paling sesuai memastikan Malaysia sekurang-kurangnya meraih kedudukan baik di Piala Dunia, November depan selain layak ke Sukan Olimpik 2020.

Ia terbukti apabila sepanjang lima tahun di India sejak 2013, gergasi Asia itu berjaya menempatkan diri dalam ranking enam terbaik dunia selain beberapa kali mencipta kejutan ke atas pasukan utama dunia sebelum dipecat pada hujung tahun lalu.

Dia kemudiannya dipelawa Persatuan Hoki Pakistan untuk mengendali pasukan negara itu, namun ikatan itu hanya bertahan sembilan bulan sebelum beliau meletakkan jawatan selepas Sukan Asia dengan alasan suasana politik sukan di sana tidak sesuai dengan tugasnya untuk membentuk skuad yang mantap.

Dalam pada itu, Sukan NSTP turut menghubungi hotel didiami Oltmans dan menerusi pencarian dibuat memang ada bilik yang ditempah atas nama Subahan.

58 dibaca
Berita Harian X