Rabu, 26 September 2018 | 4:14pm

Atlet SUKMA Melaka 'tuai' habuan

AYER KEROH: Semua pemenang pingat, termasuk jurulatih dan pengurus pasukan yang berjaya mengharumkan nama Melaka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 bakal menerima habuan daripada kerajaan negeri.

Sejumlah RM200,700 disediakan untuk 22 pemenang pingat emas, 17 pemenang pingat perak dan 25 pemenang pingat gangsa itu, selain 16 jurulatih dan pengurus kontinjen yang bakal diserahkan pada satu majlis khas yang akan diadakan tidak lama lagi.

Perkara itu diumumkan EXCO Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee, hari ini.

Setiap pemenang pingat emas akan menerima wang tunai RM5,000 bagi atlet individu, atlet bertiga dan berempat (RM2,000), atlet berpasukan (RM1,000), manakala atlet meraih perak bagi individu (RM3,000), atlet beregu (RM1,500), atlet bertiga dan berempat (RM1,500) dan RM750 bagi atlet berpasukan.

Pemenang pingat gangsa bagi individu pula RM1,500, masing-masing atlet beregu, bertiga dan berempat (RM800) dan RM500 bagi atlet berpasukan.

Chee Yee berkata, insentif itu sebagai suntikan awal supaya atlet kekal menunjukkan kecemerlangan, sekali gus menghadiahkan tempat terbaik kepada Melaka pada masa akan datang.

"Edisi SUKMA kali amat menyentuh hati saya kerana ramai atlet menggunakan masa yang ada untuk melakukan yang terbaik serta menghadiahkan sesuatu kepada negeri tercinta ini,"katanya.

Sukan wushu antara penyumbang terbesar pingat emas buat Melaka apabila memperoleh tujuh daripada 18 yang dimenangi pasukan negeri.

Selain wushu, pingat emas yang dimenangi atlet lelaki adalah acara memanah, badminton beregu, tinju, petanque, renang dan taekwando, manakala atlet wanita pula adalah wushu, badminton, golf dan renang.

Pada temasya SUKMA kali ini, Melaka menduduki tempat ke-11 dengan pungutan 18 emas, 18 perak dan 19 gangsa.

52 dibaca
Berita Harian X