Ahad, 23 September 2018 | 11:57am
PENINJU Britain, Anthony Joshua. - Foto REUTERS

Joshua kekal gelaran heavyweight dunia

LONDON: Peninju Britain, Anthony Joshua mengekalkan gelaran heavyweight dunia dengan menghadiahkan Alexander Povetkin kekalahan keduanya dalam arena profesional di Stadium Wembley, hari ini.

Pertembungan penuh aksi menarik yang berakhir di pusingan ketujuh itu akhirnya memihak kepada Joshua apabila dia berjaya merebahkan lawannya dari Russia itu ke tepi gelanggang, menerusi tumbukan lurus tangan kanan yang diselangkan dengan tumbukan cangkuk tangan kiri.

Povetkin berjaya bangkit tetapi selepas terus diasak tumbukan Joshua, pengadil Steve Gray menghentikan pertarungan itu ketika ia memasuki 1 minit 59 saat di pusingan ketujuh.

Kemenangan menyaksikan Joshua meneruskan rekod kemenangan di arena profesional kepada 22 kemenangan daripada 22 pertarungan dengan knockouts di hadapan penyokongnya sendiri.

“Povetkin adalah lawan yang amat sukar dan dia membuktikannya malam ini,” kata Joshua kepada Sky Sports. “Saya menyedari yang dia kuat di bahagian kepala tetapi lemah di bahagian badan.

“Saya menggunakan tumbukan secara berterusan, saya memperoleh kembali tumbukan daripada tangan kanan.”

Joshua mempertaruhkan tali pinggang Persekutuan Tinju Antarabangsa, Persatuan Tinju Dunia dan Organisasi Tinju Dunia menentang jaguh Russia berusia 39 tahun itu.

Pertarungan itu mengimbas kembali beberapa pertemuan kelas heavyweight antaranya membabitkan legenda Muhammad Ali, Joe Frazier dan George Foreman yang menyaksikan pertembungan di antara dua pemenang pingat emas Olimpik.

Joshua, 28, yang jelas memiliki kelebihan daripada sudut tubuh badan memperoleh pingat emas Olimpik di gelanggang sendiri, Olimpik 2012 di London, manakala Povetkin mendaki podium sama lapan tahun sebelum itu di Athens.

Ini kali pertama Joshua kembali ke gelanggang selepas meraih kemenangan dianggap terbesar dalam kariernya dengan menewaskan bekas juara, Wladimir Klitschko, tahun lalu.

Ironinya, Klitschko menjadi satu-satunya peninju yang berjaya menewaskan Povetkin yang memiliki 36 rekod perlawanan pada 2013, sebelum ini.

Selepas meraih kemenangan, Joshua kemudian mencabar beberapa lagi nama besar dalam arena tinju seperti pemegang tali pinggang kelas heavyweight Majlis Tinju Dunia, Deontay Wilder selain Tyson Fury dan Dillian Whyte untuk bertarung. - AFP

Berita Harian X