Sabtu, 22 September 2018 | 6:32pm
PENGURUS pasukan Sapura Cycling Team (TSC), Sayuti Zahit

Sayuti puas hati prestasi anak buah di TDSi 2018

KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan Sapura Cycling Team (TSC), Sayuti Zahit tetap berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya di perlumbaan Tour de Siak (TDSi) 2018, walaupun mereka gagal mempertahankan jersi kuning selaku juara keseluruhan individu dimenangi mereka pada edisi 2017.

Sayuti menegaskan biarpun mereka kehilangan jersi kuning kepada pelumba Australia, Mathew Zenovich dari pasukan St George Continental Cycling Team (St George) yang muncul juara keseluruhan TDSi edisi 2018 namun beliau tetap bangga keupayaan anak buah.

"Apa yang penting sekarang ialah pencapaian pelumba Malaysia kali ini lebih baik berbanding tahun lalu selepas dua tahun TSC menjadi pasukan berstatus Continental. 

"Malah, Mohammad Izzat Hilmi Abd Halil dan  Akmal Hakim Zakaria membuktikan kerja keras dan usaha bersungguh-sungguh membolehkan mereka memenangi peringkat ketiga dan keempat TDSi 2018," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Akmal muncul pemenang peringkat terakhir TDSi selepas tiba di garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 19 minit 34 saat diikuti pelumba St George, Ryan Cavanagh (kedua) dan Afiq Huznie Othman dari Terengganu Cycling Team (TSG) ketiga. 

Kemenangan itu membolehkan TSC mengekalkan kedudukannya selaku pasukan kedua terbaik keseluruhan di belakang St George yang kini mendominasi jelajah TDSi dari peringkat awal edisi tahun ini.

Sebelum ini media melaporkan TSC menyasarkan untuk menang jersi kuning (juara keseluruhan) Tour de Siak 2018 pada akhir bulan ini. Sasaran berkenaan adalah realistik berikutan kejayaan pelumba TSC, Aiman Cayandi muncul pemenang jersi kuning dan juara keseluruhan pelumbaan Tour de Siak pada tahun lalu.

Justeru, TSC meletakkan sandaran kepada dua pakar 'Sprinter' iaitu Izzat Hilmi Abdul Halil dan Dylan Page untuk membantu mereka muncul juara keseluruhan dan jersi kuning siri jelajah yang baharu mendapat pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkenaan.

TSC juga bakal diperkuatkan dengan kehadiran, Muhammad Zawawi Azman dan Akmal Hakim Zakaria selain Aiman Cayandi bagi menghadapi cabaran pasukan ternama lain seperti KFC Cycling Team, St George Continental Cycling Team dan Kinan Cycling Team.

19 dibaca
Berita Harian X