Isnin, 10 September 2018 | 5:55pm
AHMAD Shapawi Ismail - Foto HASRIYASYAH SABUDIN

Tiada maaf kes doping

IPOH: Tidak ada belas kasihan terhadap atlet didapati positif menggunakan bahan terlarang biarpun diuji sebelum berlangsungnya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak edisi ke-19.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata demikian ketika ditanya tentang kes seorang atlet angkat berat didapati positif doping pada saringan anti doping menjelang SUKMA yang membuka tirainya esok.

"Saringan lebih awal dilakukan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menerusi kerjasama Agensi Antidopong Malaysia (ADAMAS) adalah satu petanda positif buat sukan itu.

"Sudah tentulah atlet terbabit tidak bertanding di SUKMA walaupun ujian terbabit dilakukan sebelum SUKMA. Keputusan ujian itu masih dianggap ujian rasmi dan tertakluk di bawah peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA)," katanya kepada pemberita di Pusat Media Utama Sukma Perak di sini hari ini.

Semalam, Presiden PABM membuat pendedahan seorang atletnya positif menjelang SUKMA Perak. Seramai 165 atlet angkat berat menyertai temasya itu menjalani ujian doping dan hanya yang lulus dibenar menyertai SUKMA kali ini.

Shapawi yang enggan mendedahkan butiran atlet terbabit berkata ia bergantung kepada badan induk angkat berat untuk mengadakan siasatan terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan.

"Menjadi harapan saya setiap kali dalam apa juga kejohanan supaya tidak ada kes sebegini berlaku yang mana bagi saya ia adalah penipuan dalam sukan.

"Kebanyakan kes adalah tak sengaja tanpa sedar kerana tak semak apa yang diambil. Ia nampak seperti atlet itu teraniaya tetapi sebenarnya adalah kecuaian atlet itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee berkata kontinjen Perak juga mengambil inisiatif dengan mengadakan ujian doping secara rawak terhadap atlet mereka yang disenarai pendek pada peringkat awal pemilihan.

"Menerusi 100 ujian rawak yang dilakukan kami kenal pasti ada atlet positif doping dan tidak disenaraikan bagi mewakili negeri Perak.

"Saya hanya boleh katakan sekurang-kurangnya seorang yang didapati positif doping namun keputusan didapati itu tidak boleh dianggap rasmi kerana kami menghantarnya ke makmal yang tidak diiktiraf WADA," katanya.

29 dibaca
Berita Harian X