Sabtu, 8 September 2018 | 3:40pm
Ketua kontinjen Johor Bahru, Mohd Shukri Mohd Masbah. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Kontinjen Johor kekal bersih doping

JOHOR BAHRU: Semua atlet Johor yang akan bertanding pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19 di Perak bermula 12 September hingga 22 September diingatkan supaya tidak terjebak dengan isu doping.

Ketua kontinjen, Mohd Shukri Mohd Masbah menegaskan isu itu perlu dibendung awal, malah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) juga sudah mengambil inisiatif tepat dengan memberi taklimat mengenai pengambilan barang terlarang.

Katanya, setiap atlet tidak boleh memandang remeh isu doping dan wajar menghindari setaip pengambilan suplemen yang meragukan.

"Walaupun Johor tidak pernah terbabit dalam isu doping sejak SUKMA diperkenalkan pada 1986, namun MSNJ peka dan sentiasa memantau atlet bagi memastikan tiada kes terbabit.

"MSNJ sudah memanggil Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) untuk melakukan ujian ke atas atlet angkat berat tiga minggu lalu dan mereka bebas daripada sebarang pengambilan barang terlarang.

"Malah kami juga membat ujian doping dan kesihatan terhadap semua atlet. Mereka bebas daripada isu doping dan ia amat membanggakan kerana atlet sedar bahaya pengambilan barang terlarang," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.

Mengulas mengenai permintaan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang menyasarkan 25 pingat emas, Mohd Shukri yakin sasaran itu mampu digapai walaupun pada awalnya mereka hanya memburu 23 pingat emas.

"Sasaran itu cukup rasional kerana atlet Johor sudah diberi pendedahan terbaik. Pendedahan awal itu penting kerana Johor akan jadi tuan rumah SUKMA 2020 dan itu adalah langkah pro-aktif membangun program sukan di negeri ini," katanya.

14 dibaca
Berita Harian X