Rabu, 29 Ogos 2018 | 9:20pm
AZIZULHASNI Awang - Foto BERNAMA

Peluang Azizulhasni, Shah Firdaus bertembung di final

 

JAKARTA: Dua jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom berpeluang bertemu sesama sendiri di pentas final dalam acara pecut individu esok.

Kedua-duanya mara ke pentas separuh akhir acara pecut individu di Velodrom Antarabangsa Jakarta selepas cemerlang menewaskan lawan masing-masing di pentas suku akhir.

Azizulhasni tidak bermasalah menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto dalam aksi dua perlumbaan di suku akhir .

Shah Firdaus pula terpaksa bangkit selepas tewas perlumbaan pertama namun menang dalam dua baki perlumbaan menewaskan jaguh China, Xu Chao.

The Pocket Rocketman akan bertemu Im Chaebin dari Korea Selatan manakala Tomohiro Fukaya dari Jepun menjadi penghalang Shah Firdaus di separuh akhir.

Ketua jurulatih negara, John Beasley meramalkan Azizulhasni akan berdepan cabaran lebih getir berbanding Shah Firdaus.

"Namun sekiranya berjaya mengatasi lawan, emas hampir pasti menjadi milik negara. Mereka mampu bertemu sesama sendiri di final sekiranya meneruskan rentak dan prestasi seperti hari ini," kata Beasley.

Sementara itu Jupha Somnet terlepas gangsa dalam acara omnium apabila menduduki tempat keempat dengan 118 mata, hanya dibezakan tiga mata dengan pelumba Korea Selatan, Kim Youri di kedudukan ketiga.

Berita Harian X