Khamis, 16 Ogos 2018 | 3:26pm
PENGARAH Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Terry Walsh. - Foto Owee Ah Chun

Mana satu betul?

KUALA LUMPUR: Apakah nasib sebenar Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Terry Walsh.

Ini kerana MHC mengakui sudah melanjutkan kontraknya, namun Majlis Sukan Negara (MSN) - pihak yang bertanggungjawab membayar gaji pakar dari Australia itu menafikannya.

Kontrak Terry sepatutnya berakhir Selasa lalu selepas hampir tiga tahun menggalas tugas selaku pengarah teknikal.

Subahan pada sidang media Sabtu lalu berkata Terry dilanjutkan kontrak sehingga Julai tahun depan.

"Tempoh kepimpinan kami kali ini akan berakhir sebaik tamat kempen kelayakan Olimpik yang dijangka pada Jun depan.

"Mudah-mudahan semuanya berjalan baik, ia (kelayakan Olimpik) adalah misi hidup atau mati kami, sekiranya gagal semuanya yang masuk sebagai satu pakej bersama saya perlu pergi."

Namun, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi ketika dihubungi berkata pihaknya belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu melanjutkan kontrak bekas jurulatih Australia dan Belanda itu atau sebaliknya.

"Kami belum menyambung kontraknya, memang ada menerima cadangan daripada pihak MHC tetapi kami belum putuskannya lagi.

"Jika sebenar Subahan sudah mengumumkan lanjutan kontrak kepadanya, mungkin beliau yang melanjutkannya.

"Jika betul MHC menawarkan kontrak baru kepadanya mereka harus bertanggungjawablah, bagi pihak MSN kami menanti sehingga berakhir Sukan Asia sebelum tentukan masa depannya.

"Cadangan awal yang kami terima daripada MHC mereka meminta untuk melanjutkan kontrak Terry sehingga berakhir kelayakan Olimpik pada Jun tahun depan," kata Shapawi.

Difahamkan, Terry menerima gaji sekitar RM 60,000 dengan 80 peratus daripadanya ditanggung MSN dan baki 20 peratus oleh MHC sepanjang tempoh perkhidmatannya

Bagaimanapun, MSN mungkin tidak berminat untuk menawarkan kontrak baru setahun kepadanya apatah lagi dengan saranan baru Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Rahman yang sedia menamatkan kontrak pakar asing susulan hasrat kerajaan mahu menjimatkan perbelanjaan.

Malah, wujud kemungkinan MSN hanya akan bersetuju untuk melanjutkan kontrak Terry setakat saingan hoki Piala Dunia hujung tahun ini.

18 dibaca
Berita Harian X