Sabtu, 4 Ogos 2018 | 3:55pm
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto BERNAMA

Cukuplah kontrak dua bulan ke Eropah

KUALA LUMPUR: Keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk hanya melepaskan empat pemain negara beraksi selama dua bulan di liga Jerman dan Itali dibuat demi kebaikan skuad hoki wanita kebangsaan.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata pada awalnya keempat-empat pemain dibawah badan induk itu menerima tawaran beraksi selama semusim untuk kelab Jerman, Wespen Zehlendorfer dan kelab Itali, Butterfly Roma.

Namun, pihaknya terpaksa meminta kedua-dua kelab itu meneliti semula kandungan kontrak berkenaan selepas bimbang tempoh liga yang panjang di Eropah antara September hingga pertengahan tahun depan boleh menjejaskan persiapan Malaysian Tigress.

"Kami sudah bersetuju dengan kedua-dua kelab terbabit untuk hanya meluluskan kontrak selama dua bulan sebabnya kami sudah menyusun perancangan untuk pasukan negara pada awal tahun depan selain takut ianya bertindih dengan kejohanan.

"Memang pada awalnya kedua-dua kelab menawarkan kontrak semusim buat keempat-empat pemain tetapi adalah susah untuk kita memanggil mereka pulang, lagipun pemain-pemain ini juga terikat dengan komitmen kelab di sini," katanya.

Semalam MHC mengesahkan seramai empat pemain wanita negara bakal mendapat pendedahan beraksi di Eropah dengan penyerang Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti akan beraksi dalam saingan liga utama Jerman bersama Wespen.

Pakar flick nombor satu negara, Nuraini Rashid dan Fatin Syafika Mahd Sukri pula akan menyarung jersi Butterfly Roma sebuah kelab liga utama Itali.

Sementara nasib lagi tiga pemain Raja Norsharina Shabuddin, Surizan Awang Noh dan Nuraslinda Said yang dikatakan menarik minat Kelab Hoki Uddingston di Scotland belum diketahui kerana ia masih dalam proses rundingan.

Menurut Subahan, pihaknya juga akan menghantar wakil bagi memantau persembahan dan keadaan pemain-pemain ini sepanjang di Eropah.

"Bukan saja S Selvaraju (ejen yang menjual resume pemain) ini yang akan memantau, malah kami MHC juga sudah merancang untuk menghantar wakil bagi memantau pemain.

"Tugas wakil MHC ini adalah untuk melihat sama ada liga di sana mencapai tanda aras yang kita harapkan selain memantau keadaan pemain di sana, kalau boleh kita nak lebih ramai pemain wanita dapat ke Eropah.

"Ia perlu ada kesinambungan dan harus menjadi 'trend' untuk pemain mendapat pendedahan secukupnya, kita nak pemain kita keluar daripada istilah 'jaguh kampung'," katanya.

Berita Harian X