Jumaat, 3 Ogos 2018 | 9:33pm
HANIS Nadiah Onn

Hanis akui takut ke Jerman

 

KUALA LUMPUR: Penyerang sensasi hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn mengakui pada awalnya dia berdepan perasaan bercampur baur untuk menerima tawaran beraksi buat Wespen Zehlendorfer angkara takut gagal menyesuaikan diri bersama pendatang baharu liga utama Jerman itu.

Malah, jelas penyerang berusia 22 tahun itu, perasaan berkenaan terus kekal bersarang di hatinya sehingga kini meskipun sudah bersetuju merantau ke kota Berlin bersama rakan sepasukannya Wan Norfaiezah Saiuti.

"Memang takut sebab ini adalah kali pertama saya mendapat peluang bermain dengan pasukan kuat yang mana negaranya beraksi di Piala Dunia.

"Malah, banyak perkara lain turut menyebabkan saya jadi 50-50 pada awalnya untuk menerima tawaran ke Jerman antaranya persetujuan keluarga dan juga isu pembelajaran dengan saya ketika ini menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Selain itu, saya juga takut berdepan masalah komunikasi apabila berada di sana, maklumlah ini kali pertama saya akan beraksi secara individu di luar negara. Jadi, saya perlu cepat sesuaikan diri, jika tidak saya pasti akan berdepan masalah nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wespen menjadi destinasi pilihan Hanis dan Wan Norfaiezah, 23, ketika pertahanan Nuraini Rashid, 29 dan Fatin Syafika Mahd Sukri, 23, (penyerang) akan menyarung jersi kelab Butterfly Roma di Itali.

Difahamkan, keempat-empat pemain itu akan terus ke Jerman dan Itali sebaik saja temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang melabuhkan tirainya pada 1 September.

Segala pembiayaan kos mereka di sana akan ditanggung sepenuhnya kelab masing-masing dengan Nuraini dan Fatin dikatakan mendapat elaun bulanan sehingga 1,600 euro.

Hanis turut mendedahkan yang pengendali Malaysian Tigress, Dhaarma Raj Abdullah yang memutuskan pemain mana yang akan mengisi tujuh slot untuk ke Eropah dengan tiga lagi pemain dalam proses rundingan akhir menyertai Kelab Hoki Uddingston, Scotland.

Berita Harian X