Jumaat, 3 Ogos 2018 | 5:26pm
WESPEN Zehlendorfer

Geisler, Grossi hargai kerjasama MHC

KUALA LUMPUR: Keputusan Wespen Zehlendorfer membawa masuk dua pemain hoki wanita negara Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti dianggap satu percaturan bijak oleh pengurus kelab 'pendatang baharu' liga utama Jerman itu, Thorsten Geisler.

Geisler berkata, menerusi kehadiran Hanis, 22, dan Wan Norfaiezah, 23, bukan saja bermakna pihaknya dapat menambat dua pemain terbaik dari Malaysia tetapi pada masa sama turut berjaya mencipta jalinan kerjasama baharu bersama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

"Kelab Wespen Zehlendorfer amat gembira apabila dua pemain terbaik dari Malaysia akan beraksi selama dua bulan untuk kami dalam saingan liga antara yang paling kompetitif di dunia. Malah, saya percaya mereka mampu membawa impak besar terhadap pasukan," kata Geisler.

"Selepas pernah menggunakan khidmat beberapa pemain lelaki Malaysia seperti Baljit Singh Charun, Harvinder Singh, S Selvaraju dan Shazrul Imran Nazli buat julung kalinya kami akan diperkuat pemain wanita pula. Terima kasih kepada MHC kerana melepaskan dua pemain ini dan sudah tentu mereka akan mendapat manfaat daripada pendedahan beraksi di liga utama Jerman.

"Wespen berharap hubungan yang terjalin dengan MHC dapat dikekalkan hingga ke masa depan selain bersedia menerima kehadiran pasukan lelaki dan wanita Malaysia untuk mengadakan kem latihan di sini dan kami juga berharap akan dapat ke sana satu hari nanti."

Kempen liga Jerman hanya akan membuka tirainya pada 1 September depan tatkala Hanis dan Wan Norfaiezah akan muncul pemain pertama dari Malaysia beraksi dalam saingan divisyen utama wanita membabitkan 12 pasukan.

Nada sama turut disampaikan Marco Grossi, presiden Kelab Hoki Butterfly Roma di Itali yang akan menjadi destinasi bagi dua lagi pemain negara  - Nuraini Rashid dan Fatin Syafika Mahd Sukri.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan MHC hasil bantuan bekas pemain Malaysia S Selvaraju. Harapan saya semoga semuanya berjalan lancar," kata Grossi.

Butterfly Roma adalah pendatang baharu dalam saingan liga utama Itali dan pada musim ini akan dibimbing oleh jurulatih dari Argentina, Sergio Herrera.

Berita Harian X