Sabtu, 28 Julai 2018 | 8:41am
PRESIDEN IAAF, Sebastian Coe. - Foto AFP

IAAF kekal larangan terhadap atlet Russia

BUENOS AIRES: Badan induk olahraga dunia mengekalkan larangan terhadap atlet Russia daripada menyertai kejohanan trek dan padang gara-gara masalah doping dan keputusan itu dibuat kira-kira 10 hari sebelum bermulanya Kejohanan Eropah di Berlin.

"Majlis IAAF sebulat suara mengekalkan hukuman yang menyebut RUSAF (persekutuan olahraga Russia) tidak dibenarkan bertanding ketika ini," kata ketua pasukan siasatan khas IAAF, Rune Andersen.

Bagaimanapun, Andersen berkata, terdapat banyak peningkatan positif yang ditunjukkan RUSAF berhubung usaha menyekat isu doping daripada terus berleluasa di negara itu.

"Dalam sesetengah kes, mereka sudah menjalankan usaha yang jauh lebih baik berbanding ditetapkan," kata Andersen sebelum menambah larangan ke atas RUSAF itu masih belum boleh ditarik balik buat masa ini.

Andersen berkata, dalam usaha untuk membenarkan Russia bertanding di mana-mana kejohanan, Majlis IAAF akan mengadakan perbincangan mengenainya dalam satu mesyuarat di Monaco, Disember ini tetapi RUSAF perlu memenuhi tiga tuntutan yang digariskan WADA.

Pertama, RUSAF perlu menanggung kos yang dikenakan IAAF sepanjang siasatan ke atas kes doping.

Kedua, Agensi Anti Doping Russia (RUSADA) juga perlu diiktiraf semula olah WADA dan akhirnya, pihak berkuasa Russia perlu membenarkan ujian anti doping yang dijalankan di makmal RUSADA di Moscow, pada 2011-15, diuji semula.

Sementara itu, presiden IAAF, Sebastian Coe menambah: "Terdapat peningkatan di beberapa bahagian tetapi masih ada lagi yang boleh diperbaiki.

"Kami sedia maklum mengenai perubahan yang sudah dibuat tetapi buat masa ini, kriteria yang ditetapkan masih belum dipenuhi."

Presiden RUSAF, Dmitry Shlyakhtin berkata, beliau berharap dapat memperoleh khabar baik tidak lama lagi.

"Kami agak kecewa dengan keputusan yang dibuat Majlis IAAF," kata Shlyakhtin. "Saya berharap kami mendapat keputusan positif tetapi ia tidak berlaku. Kami akan terus berusaha untuk membolehkan atlet kami bertanding." - Reuters

Berita Harian X