Selasa, 24 Julai 2018 | 7:17pm
VINCENT Chen - Foto SAIFULLIZAN TAMADI

MAKAF sasar lima pingat Sukan Asia 2018

KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) meletakkan sasaran untuk membawa pulang lima pingat dari Sukan Asia di Indonesia bulan depan.

Setiausaha Agungnya, Vincent Chen menjelaskan mereka menghantar enam atlet ke Indonesia dengan sandaran utama meraih emas kepada pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan.

"Sasaran lima pingat kita adalah berdasarkan rekod dan kedudukan ranking dunia atlet. Selain itu prestasi sejak lima hingga 10 bulan lalu menjadi ukuran," jelasnya selepas mesyuarat bersama CDM Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Ditanya mengenai perkembangan terkini Syakilla yang dilaporkan berdepan isu berat badan, beliau menjelaskan program atlet berkenaan sedang berjalan lancar.

"Saya gembira dengan perkembangannya beberapa hari lalu. Kita boleh jangkakan dia akan kembali seperti dulu," katanya.

MAKAF bagaimanapun terpaksa menggugurkan S Senthil Kumaran kerana kecederaan di kepala di Kejohanan Karate Asia (AKF) di Jordan, dua minggu lalu.

Selain Syakilla yang bersaing dalam kumite bawah 55kg, lima atlet lain adalah S Prem Kumar (kumite bawah 60kg), R Sharmendran (kumite bawah 75kg),P Madhuri (kumite bawah 50kg), Lim Chee Wei (kata individu) dan Celine Lee Xin Yi (kata individu).

Berita Harian X