Selasa, 24 Julai 2018 | 5:55pm
KHALID (dua dari kanan) menerima jemputan rasmi daripada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu ketika Kunjungan Hormat Kerajaan Negeri Perak sempena Penganjuran SUKMA XIX PERAK 2018 di Kementerian Wilayah, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Wilayah sasar juara SUKMA 2018

PUTRAJAYA: Kontinjen Wilayah Persekutuan menyasarkan untuk muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19 di Perak yang dijadualkan berlangsung mulai 11 hingga 22 September depan.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, kontinjen berkenaan kini sudah bersiap sedia memperbaiki kedudukan pada edisi sebelum ini yang menyaksikan Wilayah Persekutuan menduduki tempat keempat dengan 40 emas, 44 perak dan 40 gangsa.

Ditanya mengenai sasaran pingat emas yang bakal dirangkul pada temasya itu, beliau menjawab ringkas: "Hampir 60 pingat."

Katanya, kontinjen Wilayah Persekutuan menghantar 755 atlet, pegawai dan jurulatih yang akan bersaing dalam 29 acara sukan.

"Walaupun Selangor, Terengganu, Sarawak dan tuan rumah, Perak dianggap pencabar terkuat kali ini, namun Wilayah Persekutuan percaya melalui pembangunan sukan yang sudah dilaksanakan, kita mampu mencapai sasaran.

"Selain itu, berhubung insentif kepada setiap atlet yang merangkul pingat, jumlah sebenar akan kita maklumkan kemudian, tetapi kita cuba untuk menaikkannya dari tahun ke tahun, yang mana kalau boleh lebih daripada apa yang pernah diberi dulu untuk menjamin bahawa kita mencapai prestasi terbaik," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas menerima kunjungan rombongan kerajaan negeri Perak sempena SUKMA Ke-19 yang diketuai Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, sebentar tadi.

Sebelum ini, atlet SUKMA Wilayah Persekutuan yang menyumbang pingat emas menerima insentif RM5,000 (kategori individu) dan RM4,000 (kategori berpasukan) manakala perak RM1,500 (kategori individu) dan RM1,000 (kategori berpasukan) dan gangsa RM1,000 (kategori individu) dan RM800 (kategori berpasukan).

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, pihaknya sudah memulakan kerja persiapan untuk semua venue pertandingan untuk penganjuran SUKMA Ke-19 sejak tahun lalu dan setakat ini semuanya 90 peratus siap.

"Kami juga sentiasa berusaha memastikan pembinaan kemudahan sukan bagi penganjuran SUKMA Ke-19 ini menepati piawaian yang ditetapkan Badan Sukan Antarabangsa," katanya.

22 dibaca
Berita Harian X