Selasa, 24 Julai 2018 | 5:27pm
PENGARAH Agensi Anti- Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz. - Foto Saifullizan Tamadi

Keputusan doping sebelum ke Sukan Asia: Ramlan

KUALA LUMPUR: Pengarah Agensi Anti- Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz memberi jaminan keputusan ujian akan diperoleh sebelum atlet berlepas ke Sukan Asia 2018 bulan depan.

"Keputusan akan sampai sebelum mereka bertolak," katanya mengenai atlet yang bakal menyertai temasya peringkat benua berkenaan yang berlangsung pertengahan bulan depan.

Seorang atlet angkat berat negara yang meraih gangsa di Sukan Komanwel 2018 disahkan positif menggunakan bahan terlarang dengan keputusan sampel ujiannya hanya diketahui selepas bertanding  di Gold Coast, Australia walaupun ia dilakukan sebelum dia ke negara berkenaan.

"Sehingga kini, 40 peratus atlet sudah menjalani ujian. Setiap yang bersaing dalam acara individu akan diuji manakala bagi acara berpasukan ia akan dijalankan secara rawak," tambahnya.

Malah, menurut Ramlan, pihaknya akan turut menjalankan ujian kepada atlet negara yang berlatih di luar negara yang dijadualkan terus terbang ke Indonesia.

"Sekiranya ada atlet cuba lari atau mengelakkan diri, tindakan lebih serius akan diambil," jelasnya.

Malaysia dijadual menghantar 426 atlet untuk bersaing dalam 35 jenis sukan yang dipertandingkan.

Berita Harian X