Sabtu, 7 Julai 2018 | 10:17pm
KETUA Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan, Prof. Datuk Dr. Mohd Ismail Abdul Aziz (tiga dari kiri) bersama penerima anugerah olahragawan PolySEA 2017, Mohamad Ashran Hamsani, (empat dari kanan), olahragawati PolySEA 2017, Teoh Kim Chyi, (dua dari kanan) dan olahrawan PolySEA 2017 kategori Atlet Paralimpik, Mohamad Farhan Shukry Jamil (dua dari kiri) di majlis anugerah kecemerlangan Sukan Politeknik atau PolySEA 2017 di Dewan Mutiara, Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

Mohamad Ashran, Kim Chyi atlet terbaik MSP

BUKIT MERTAJAM: Dua atlet yang dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati terbaik  Majlis Sukan Politeknik (MSP) tekad mempamerkan aksi cemerlang dalam Sukan Asia 2018 dan Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Pemain hoki negara, Mohamad Ashran Hamsani, 23, yang giat membuat persiapan untuk temasya Sukan Asia di Indonesia yang akan disertainya bermula 18 Ogos hingga 2 September depan termasuk kejohanan Piala Dunia.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, beliau yang bermain di posisi tengah mula menyertai pasukan skuad hoki kebangsaan selepas berpindah ke Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam.

"Sebelum ini saya bermain untuk pasukan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Perak dan dapat diserap ke skuad hoki kebangsaan ketika menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di PSA.

"Peluang ini tidak akan disia-siakan dan berjanji akan berusaha sehabis baik dengan pasukan bagi memberi permainan yang terbaik disamping dapat menjulang nama negara serta politeknik ke persada dunia," katanya.

Mohamad Ashran berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik (POLYSEA) kali kelima di Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini, hari ini.

Bagi Teoh Kim Chyi, 21, yang menyertai sukan olahraga untuk acara lari jarak jauh 800 meter dan 1,500 meter pula sedang fokus untuk menjalani latihan untuk memberi persembahan cemerlang pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak dan Sukan Universiti Asean yang akan berlangsung di Myanmar, Disember tahun ini.

Anak kelahiran Kedah itu berkata, beliau juga mahu memperbaharui rekod yang lebih baik selepas berjaya memecah dua rekod catatan masanya ketika menyertai Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) baru-baru ini.

"Pada SUKMA 2016, saya memperoleh pingat perak dalam acara yang disertai dan pada SUKIPT baru-baru ini, saya berjaya memecahkan dua rekod baharu yang mana ia memberi inspirasi untuk saya melakukan dengan lebih baik bagi SUKMA serta Sukan Universiti Asean pada kali ini," katanya.

Majlis anugerah anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti itu menawarkan 28 anugerah bagi mengiktiraf pencapaian jurulatih dan atlit serta kakitangan yang terbabit dalam pelbagai sukan yang disertai institut pendidikan itu.

Bagi anugerah olahragawan dan olahragawati terbaik, Mohamad Ashran dan Kim Chyi masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijil penghargaan.

Selain itu, pemain catur Muhammad Farhan Shukry Jamil, 21, dari Politeknik Mersing, Johor turut meraih anugerah Atlet Paralimpik Terbaik yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala dan sijil penghargaan.

Semua anugerah dan hadiah disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan dan Kolej Komuniti, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz.

Mohd Ismail dalam ucapannya berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan atlet politeknik dan kolej komuniti yang menyertai pelbagai kejohanan sukan.

"Buat masa ini, kekuatan atlet kita banyak mendominasi acara berpasukan namun pada masa sama turut menonjol dalam sukan-sukan lain yang mana kita berharap momentum ini dapat terus dikekalkan dan dipertingkatkan pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X